Kerajaan campuran nafikan hak rakyat – Abu Irfan
September 18, 2024
KUALA LUMPUR: “Kerajaan Madani dilihat masih berdolak dalik dalam menafikan hak rakyat yang memilih wakil rakyat pembangkang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.”
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, hak demokrasi seolah-olah dinafikan apabila kerajaan tidak memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang di negeri yang dikuasai kerajaan campuran, kecuali Johor yang masih lagi menganggap wakil bukan kerajaan sebagai pengimbang dan diberikan peruntukan.
“Keadaan ini berbeza pula di negeri yang dikuasai Perikatan Nasional (PN) yang tetap memberikan peruntukan sama rata terhadap wakil rakyat bukan kerajaan kerana berpegang kepada prinsip demokrasi dan tidak menafikan hak rakyat.
“Terkini timbul pula isu MoU kepada ahli parlimen pembangkang untuk mendapatkan peruntukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau dalam pada itu menegaskan bahawa ahli parlimen pembangkang adalah dipilih oleh rakyat di kawasan parlimen tersebut melalui sistem demokrasi dan tiada sebab untuk dinafikan hak peruntukan ahli parlimen pembangkang.
“Penafian peruntukan ini memberi maksud kerajaan campuran menafikan hak rakyat yang memilih wakil mereka. Tekanan yang dilakukan kepada ahli parlimen adalah juga bererti tekanan kepada rakyat di kawasan tersebut.
“Ini adalah perbuatan dan amalan yang tidak saksama dan tidak bijaksana, sedangkan Islam sentiasa menganjurkan keadilan kepada kawan dan lawan,” ujarnya.
Justeru, tambah Abu Irfan, kejujuran dan bercakap benar adalah amat diharapkan kerana perkara yang batil dan penipuan pastinya akan terdedah di dunia dan di akhirat, serta janganlah pertembungan politik membawa kepada pencabulan hak dan kezaliman.
“Untuk merealisasikan kesejahteraan kepada seluruh rakyat, maka PAS Johor mendesak kerajaan Madani berlaku adil tanpa menafikan hak mana-mana pihak.
“Kembalikanlah peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang kerana ianya adalah hak rakyat. Jika tidak, ia merupakan suatu pencabulan dan kezaliman ke atas hak rakyat jelata yang pastinya akan dipersoalkan oleh Allah SWT pada hari akhirat nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan