‘Kita buat satu pembaharuan bersama dengan PAS’
September 1, 2024
Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
KOTA KINABALU: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengajak rakyat membuat perubahan dengan kembali kepada asas Islam untuk memimpin Malaysia dan mengisi kemerdekaan.
“Setelah kita merdeka, setengah abad lebih dah, kita masih jadi negara sedang membangun. Tak bangun-bangun. Padahal kita punya hasil bumi, kita punya macam-macam. Patut kita merdeka, kita bebas dalam agama, bab politik, bab ekonomi dan sebagainya.
“Kita kena bebas, kita usahakan supaya isi kemerdekaan ini. Jadi PAS ajak untuk buat pembaharuan. Umno dah memerintah lama. Dia mengalami kelemahan-kelemahan cabaran-cabaran terpaksalah sebahagian daripada Umno berundur.
“Kita buat satu pembaharuan bersama dengan PAS,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang semasa merasmikan Konvensyen PAS Sabah di Hotel Raia, di sini, semalam.
Tuan Guru menyatakan keyakinan dan kesyukurannya kerana melihat perkembangan dan potensi masa depan yang baik politik PAS di Sabah di mana didukung oleh ramai anak-anak muda untuk mengambil alih teraju perjuangan.
Keadaan tersebut mengingatkan beliau terhadap seruan dakwah Nabi Musa AS untuk menegakkan pemerintahan berdasarkan Taurat, namun bani Israil mengabaikan Baginda, tetapi selepas 40 tahun lahir generasi mengikutinya.
Perkembangan yang baik di Sabah itu menurut Tuan Guru, selari gelombang Pilihan Raya Ke-15 sebelum ini di mana orang-orang muda memberi undi kepada PAS hingga mendapat 43 kerusi Parlimen dan memerintah empat negeri.
“Tapi nak kuasa Kerajaan Pusat masih banyak cabaran, kena bina kekuatan lagi, memerlukan kita menang di Sabah. Kerana nak membina Kerajaan Pusat ni ada halangan. Kerana kuasa-kuasa besar tak benar kita balik kepada Islam,” ujarnya.
Tuan Guru mengimbas kemenangan HAMAS dalam Pilihan Raya Palestin tahun 2006 dengan mendapat majoriti 74 daripada 132 kerusi, namun Ismail Haniyeh yang dicadangkan Perdana Menteri telah dibantah Israel, Amerika Syarikat dan banyak negara Arab.
Keadaan tersebut cerita beliau, menyebabkan HAMAS terpaksa bertahan dan menubuhkan kerajaan di Gaza yang sangat kecil macam Kota Kinabalu walaupun mereka mendapat kemenangan majoriti.
“Dibelasah habis-habisan, diserang tak benar Islam ni memerintah. Itu HAMAS dapat majoriti. Kita ni belum majoriti lagi, kita ini betul-betul kena kuat. Kalau nak kuat Sabah, kena menang Sabah kena ada kerusi kita.
“Sama ada kerusi kita ataupun kita ajak kawan-kawan parti lain yang bergabung dengan kita, sama-sama dengan kita, tubuh kerajaan untuk bentuk kerajaan. Untuk merdekakan kita seratus-peratus. Merdeka sebenarnya tak bergantung dengan makhluk asing lagi.
“Ini kita merdeka bergantung dengan makhluk asing. Bergantung dengan MIF, bergantung dengan Bank Dunia, bergantung dengan BlackRock, ergantung dengan macam-macam. Ini tak boleh,” ujarnya lagi.
Katanya, PAS akan membangunkan Madani dalam erti kata sebenar sepertimana yang dibuat oleh Rasulullah SAW di Madinah serta masyarakat majmuk akan dapat menerimanya kerana keadilan untuk semua.
Serunya, masyarakat tidak perlu takut dengan PAS dan Islam kerana perkara tersebut telah dibuktikan dengan pemerintahan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis di mana hak-hak orang bukan Islam tidak dinafikan. – HARAKAHDAILY 1/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan