Krisis masalah teknikal Malaysia Airlines membimbangkan, mencemaskan





Krisis masalah teknikal Malaysia Airlines membimbangkan, mencemaskan
September 3, 2024

Share
Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR: Krisis masalah teknikal yang melibatkan pesawat Malaysia Airlines kini menjadi sesuatu yang amat membimbangkan.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, perkara tersebut sudah memasuki tahap yang mencemaskan apabila terbaharu, media melaporkan pesawat MH66 yang berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 jam 12.01 tengah malam Isnin ke Seoul, Korea Selatan terpaksa berpatah balik pada 12.34 tengah malam.

“Kejadian terkini ini sudah tentu mencetuskan panik dan kebimbangan rakyat Malaysia kerana sudah banyak masalah teknikal dilaporkan mutakhir ini membabitkan masalah enjin dan teknikal pesawat Malaysia Airlines.

“Isu sebegini sangat memerlukan jawapan segera dari pihak berwajib khususnya Menteri Pengangkutan iaitu Anthony Loke,” katanya.

Menurut beliau yang juga merupakan ahli Parlimen Jerantut, pada 4 Ogos 2024 lepas, penerbangan Malaysia Airlines MH156 dalam perjalanan ke Jeddah terpaksa berpatah balik ke KLIA 1 susulan masalah teknikal.

Tambahnya, perkara sebegini diikuti pula dengan satu lagi kejadian iaitu pada 19 Ogos 2024, penerbangan Malaysia Airlines MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Alice Springs akibat masalah enjin di udara.

“Sebelum ini iaitu pada 24 Jun 2024 , penerbangan Malaysia Airlines MH780 yang dalam penerbangan ke Bangkok juga berpatah balik ke KLIA selepas mengalami masalah tekanan udara.

“Sebelum itu lagi pada 20 Jun 2024, penerbangan Malaysia Airlines MH199 ke Kuala Lumpur dari Hyderabad terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi pada 3.21 pagi waktu tempatan, disebabkan masalah enjin.

“Bagi saya, Menteri Pengangkutan tidak boleh berdiam lagi mengenai isu ini.

“PN mendesak agar kerajaan segera mengadakan sesi pertemuan tergempar dengan semua pemegang taruh iaitu Malaysia Airlines, Bahagian Keselamatan Penerbangan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi dengan kadar yang segera bagi membincangkan serta menyelesaikan masalah ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, Khairil menyatakan kerajaan juga perlu mengemukakan pelan pemulihan segera untuk menyelesaikan masalah kekurangan tenaga pakar kejuruteraan yang sedang dialami oleh Malaysia Airlines.

Kata beliau lagi, ini bertujuan supaya isu seperti kelewatan pesawat dan pesawat berpatah semula akibat masalah teknikal tidak berlaku lagi.

“PN juga menggesa agar kerajaan segera menubuhkan satu jawatankuasa khas ‘taskforce’ yang turut dianggotai oleh ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pelbagai pihak pemegang taruh.

“Jawatankuasa ini boleh berkongsi kepakaran bagi mencari penyelesaian kepada kemelut ini.

“Kerajaan tidak boleh terus mengambil sikap tunggu dan lihat tatkala Malaysia Airlines sedang bergelut dengan pelbagai masalah yang akhirnya memangsakan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Khairil Nizam yang juga Ketua Portfolio Pengangkutan Perikatan Nasional (PN), dalam laporan Harakahdaily meluahkan kebimbangan terhadap insiden-insiden yang menyebabkan pesawat Malaysia Airlines terpaksa berpatah balik.

Menurut laporan bertarikh 30 Ogos 2024 yang lalu, PN menuntut penjelasan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkenaan krisis penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang kini semakin meruncing sehingga menjejaskan jadual penerbangan penumpang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, pihaknya juga menuntut penjelasan daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) yang merupakan sebuah entiti yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Tuntutan itu ialah bagi menjawab dakwaan yang menyatakan kehadiran SIA Engineering Company Limited (SIAEC) daripada Singapura yang memajak hangar kapal terbang di Subang telah menyumbang kepada krisis Malaysia Airlines ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/2024

Ulasan