Langgar janji manifesto, petanda PH-BN lebih cepat jatuh


Langgar janji manifesto, petanda PH-BN lebih cepat jatuh
September 6, 2024


KUALA LUMPUR: Kelemahan yang diperlihatkan oleh kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam menunaikan janji dan dalam bersikap adil terhadap semua rakyat tanpa mengira fahaman politik akan mempercepatkan mereka jatuh dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Dasar Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), Mohd Eikhwan M. Ali berkata, ia termasuk amalan kerajaan PH-BN menyekat peruntukan Ahli Parlimen Pembangkang.

“Rakyat akan menghukum kerajaan yang dilihat zalim dan tidak menunaikan hak mereka melalui kertas undi mereka.

“Ini telah berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti yang dinyatakan oleh (Ahli Parlimen Pasir Gudang), Hassan Abdul Karim (daripada PKR) dan akan berlaku dengan lebih kuat lagi dalam PRU16,” ujar Eikhwan dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen bukan untuk kegunaan mereka tetapi untuk membantu rakyat.

Justeru itu menurutnya, apabila Kerajaan Campuran PH-BN menyekat peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang rata-ratanya mewakili masyarakat Melayu, maka sebenarnya kerajaan menghukum masyarakat Melayu dengan menafikan hak untuk mendapat bantuan dan pembangunan.

“Kerajaan Campuran perlu mengamalkan politik yang matang, telus, dan berprinsip untuk mengekalkan kepercayaan rakyat dan kestabilan politik di negara ini,” seru beliau.

Beliau amat menyesali apabila Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Rusdi Omar, boleh menulis artikel bertajuk ‘Tiada sebab PN persoal MoU peruntukan pembangkang’.

Tulisan Dr Rusdi tersebut menurut Eikhwan adalah bagi menjustifikasikan syarat-syarat ketat yang dikenakan oleh Kerajaan Campuran kepada Ahli-ahli Parlimen PN sebelum mereka boleh diberikan peruntukan kawasan sama rata sebagai Ahli Parlimen seperti dinikmati oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan.

“Rusdi sepatutnya fokus kepada isu utama dan asas. Kerajaan Campuran diketuai oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

“Selaku Pengerusi PH, Anwar yang meluluskan dan menandatangani Manifesto PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) pada 19 November 2022.

“Dalam manifesto PRU15 PH pada tajuk ‘Memperkasa sistem demokrasi dan kuasa rakyat,’ PH berjanji untuk memperkasa kuasa rakyat dengan memastikan kebebasan Parlimen, mengawalselia pendanaan parti politik, dan menjamin pilihan raya yang adil dan saksama,” jelas beliau.

Menurutnya, di bawah tajuk kecil ‘Peruntukan kawasan sama rata,’ manifesto PRU15 PH tersebut juga dengan jelas menyatakan bahawa PH akan menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) sama rata kepada semua wakil rakyat Parlimen tanpa mengira parti.

Jelas beliau lagi, mengikut manifesto PRU15 PH, peruntukan itu perlu disalurkan melalui Parlimen, bukan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“Oleh itu tindakan Kerajaan Campuran sekarang memberikan bermacam-macam syarat kepada Ahli-ahli Parlimen PN yang disokong pula oleh Rusdi jelas bertentangan dengan komitmen PH terhadap prinsip kesamarataan dan keadilan yang dijanjikan dalam manifesto PH sendiri,” terang beliau.

Ujarnya lagi, pada 19 April 2024, Anwar sendiri menegaskan bahawa tiada syarat yang mewajibkan sokongan kepada Perdana Menteri bagi penyaluran peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau berkata, artikel Rusdi yang menyokong penyaluran bersyarat, termasuk keperluan menyokong kerajaan hingga akhir penggal ke-15, jelas bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri yang telah berjanji untuk bersikap adil terhadap semua wakil rakyat tanpa mengira sokongan politik.

Tambah beliau, tindakan Kerajaan Campuran dan tulisan Rusdi, selain jelas bercanggah dengan prinsip dan janji yang telah dinyatakan oleh PH dalam manifesto PRU15, juga sangat bertentangan dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PH serta oleh pertubuhan masyarakat sivil seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

Terdahulu pada 4 Januari 2023, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dari PKR telah dilaporkan media tempatan menyatakan bahawa menafikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang adalah satu bentuk kezaliman terhadap rakyat yang telah memilih wakil mereka.

Hassan dilaporkan menegaskan bahawa dana tersebut adalah untuk kepentingan rakyat, bukan untuk ahli politik, dan mesti diagihkan secara adil.

Pada 15 Februari 2023, Ahli Parlimen Kota Melaka dari DAP Khoo Poay Tiong turut dilaporkan menyuarakan bahawa kerajaan perlu berlaku adil dan memberikan peruntukan yang sama kepada pembangkang.

Poay Tiong malah mencadangkan penggubalan Akta Pembangunan Kawasan Parlimen untuk memastikan peruntukan diagihkan secara adil dan telus, tanpa mengira pertukaran kerajaan.

Hassan Abdul Karim juga sekali lagi menyatakan pada 19 Ogos 2023 bahawa kegagalan PH dan BN mengagihkan peruntukan secara sama rata kepada semua wakil rakyat telah menyebabkan mereka dihukum dalam PRN.

Hassan dilaporkan menegaskan keperluan untuk pemerintah berlaku adil kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang, dan tindakan PH yang gagal menunaikan janji ini telah menjejaskan sokongan rakyat, khususnya di negeri-negeri dikuasai PN.

Pada 10 November 2023, BERSIH dilaporkan menegur kepimpinan Perdana Menteri kerana masih belum menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, dan menegaskan bahawa peruntukan kawasan sepatutnya menjadi hak Ahli Parlimen tanpa syarat dan itu adalah pandangan yang selari dengan prinsip demokrasi dan hak rakyat.

Eikhwan berkata, menyekat atau mengenakan syarat ketat bagi penyaluran peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen pembangkang adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi yang adil dan saksama.

“Ini akan menurunkan Indeks Demokrasi Malaysia kerana mencerminkan amalan politik yang tidak adil, diskriminasi terhadap wakil rakyat, dan pengabaian prinsip kesaksamaan dalam pentadbiran awam.

“Mengamalkan sekatan terhadap peruntukan pembangkang mencerminkan politik sempit yang hanya akan merugikan rakyat,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, kerajaan yang matang harus mengamalkan keterbukaan dan keadilan dalam pengurusan dana awam, bukan menggunakan peruntukan sebagai alat untuk memaksa sokongan politik.

Justeru kata beliau, menyekat peruntukan kepada pembangkang mengabaikan prinsip keadilan sosial yang mana semua rakyat, tanpa mengira wakil politik mereka, berhak mendapat manfaat pembangunan.

“Ini bukan sahaja bertentangan dengan nilai-nilai demokrasi tetapi juga merosakkan imej kerajaan sebagai pentadbir yang adil dan saksama.

“Secara keseluruhannya, artikel Rusdi tidak hanya bercanggah dengan manifesto dan kenyataan pemimpin PH sendiri, serta oleh pertubuhan masyarakat sivil.

“Tetapi juga bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi, keadilan, dan hak rakyat yang sepatutnya dipegang oleh kerajaan,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 6/9/2024

Ulasan