Lelaki duduk di koc wanita, bukan kena tangkap pun

Lelaki duduk di koc wanita, bukan kena tangkap pun
Oleh Zabry Mohamad Madzlan
6 September 2024, 7:20 am

EH, kenapa semua perempuan?

Saya secara tidak sengaja memasuki koc wanita ketika menggunakan perkhidmatan transit aliran massa (MRT).

Meskipun tiada yang menegur, namun secara spontan terbit rasa ‘berdosa’ dalam diri, seolah-olah sudah melakukan satu kesalahan besar.

Bagaimanapun, ada lelaki tidak sedemikian. Malah mereka dengan selamba duduk di dalamnya sama ada tren MRT atau komuter KTM, serupa sahaja situasinya.

Nak kata mereka tidak perasan, terang-terang ada pelekat khas berwarna merah jambu dengan perkataan ‘Koc wanita sahaja’ dan ‘Women only coach’ ditulis besar di platform dan gerabak.

Walaupun kemudahan koc wanita diperkenalkan di negara ini sejak 2010 lagi, namun isu sebegini masih diperdebatkan masyarakat sehingga kini.


Kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini, kerajaan sedang merangka undang-undang termasuk hukuman denda sewajarnya kepada lelaki degil yang menggunakan koc wanita dalam tren KTM atau MRT.

Ya, mungkin tiada peruntukan undang-undang membuatkan golongan lelaki tidak takut atau tidak rasa bersalah menceroboh koc wanita.

Mungkin mereka tahu, masuk koc wanita pun bukan pihak berkuasa akan tangkap. Paling-paling pun kena halau dengan polis bantuan atau kru tren.

Kalau ditegur penumpang lain, mereka tanpa rasa bersalah melawan balik, seolah-olah mereka pula pihak yang benar.

Seperti diceritakan seorang pengguna Facebook, Sheahnee Iman Lee tentang pengalaman buruk dilalui ibunya berusia 72 tahun ketika menggunakan perkhidmatan komuter KTM yang tular baru-baru ini.

Iman Lee memberitahu, ketika kejadian, ibunya dalam perjalanan dari Klang menuju Kuala Lumpur.
“Ketika menaiki koc wanita, terdapat sekumpulan remaja lelaki berada di situ. Sebagai bekas guru selama 40 tahun, ibu saya menegur mereka tetapi dia diugut dan menerima respons biadap,” ceritanya.

Ingatkah kita satu kes pada 2003 di mana seorang wanita, Canny Ong diculik ketika hendak mengambil tiket parkir di sebuah pusat-beli belah di Bangsar, Kuala Lumpur?

Mangsa kemudian dirogol dan dibunuh sebelum mayatnya dijumpai dalam keadaan rentung di dalam longkang di tapak pembinaan lebuh raya di Petaling Jaya.

Selepas kes tersebut, banyak pusat beli-belah di negara ini memperkenalkan tempat letak kereta khas untuk wanita selain memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan butang panik.

Rasanya tidak perlu kita berdebat lagi kewujudan koc wanita yang menyusahkan penumpang lain khususnya lelaki yang terpaksa berasak-asak di gerabak biasa.

Cukuplah dengan mengambil kira banyaknya kes bunuh melibatkan mangsa wanita kebelakangan ini.

Kewujudannya bukanlah satu keistimewaan kepada kaum Hawa, sebaliknya untuk keselamatan mereka.

Ia adalah satu mesej jelas, iaitu wanita tidak selamat bersendirian. – UTUSAN

Zabry Mohamad Madzlan ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Ulasan