Lubnan tunggu masa jadi ‘Gaza kedua’

Lubnan tunggu masa jadi ‘Gaza kedua’
Oleh Adlinahani Binti Khalil
28 September 2024, 6:30 am


BELUM habis perang Israel di Semenanjung Gaza, Palestin, rejim Zionis kini beralih arah ke Lubnan dengan satu tujuan, iaitu menghapuskan pergerakan Hezbollah.

Hal ini kerana, Hezbollah lantang dan agresif menyokong kumpulan pejuang Hamas yang tidak gentar menuntut kebebasan Palestin daripada Israel.

Malah, rejim Zionis sebelum ini tidak segan silu menyatakan Israel akan jadikan Lubnan seperti ‘Gaza kedua’ jika Hezbollah terus memberi ancaman.

Sejak awal tahun ini, iaitu beberapa bulan selepas Gaza diserang Israel, Hezbollah sering memberi amaran keras kepada Zionis supaya menghentikan segala kekejaman mereka terhadap penduduk Pa­lestin.

Namun, siapa Hezbollah untuk Israel akur? Sedang­kan suara dunia pun negara haram itu tidak pernah endahkan.

Disebabkan itu, konflik antara Lubnan dan Israel kian memuncak sehingga ada pakar geostrategis mengandaikan peperangan antara Hezbollah dan Israel bakal berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Lebih perit, angka korban di Lubnan, terutama­nya di bahagian selatan negara itu juga semakin meningkat iaitu sudah mencecah lebih 700 orang akibat bedilan roket dari kedua-dua pihak.


Persoalannya, adakah berbaloi tindakan Hezbollah terus mempertahankan Hamas dengan mem­biarkan negara mereka pula sebagai sasaran Israel?

Konflik antara Hezbollah dengan Israel bukanlah baru-baru ini tercetus. Kedua-duanya sudah berantakan sejak 1982 apabila Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Israel saling berbalas serangan dari selatan Lubnan.

Disebabkan situasi yang berlaku, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan barisan kepemimpinan Lubnan menggesa supaya gencatan senjata diadakan segera antara kedua-dua pihak, tapi ‘me­ngenali’ sikap Israel, desakan itu hanya seperti ‘mencurah air ke daun keladi’.

Sekutu kuat Amerika Syarikat (AS) juga konon-konon gesa Israel lakukan gencatan senjata, hanya sekadar untuk menunjukkan mereka menyokong demokrasi. Tapi, siapa percaya?

Penduduk Lubnan amat takut jika nasib mereka menjadi seperti rakyat Palestin, kehilangan nyawa, tiada tempat tinggal, kebuluran dan semuanya hancur.

Hezbollah pula berpegang kepada ‘semangat setia kawan yang tinggi’ tidak akan sesekali mengalah, malah terus mengancam Israel dengan harapan rejim Zionis yang akan berundur.

Dunia cuma berharap, tiada lagi ‘Gaza kedua’ di mana-mana negara lain, termasuklah Lubnan. Cukup dengan penderitaan yang dialami penduduk berikutan konflik yang berlaku. Jangan biarkan Israel terus ‘menyetankan dunia’.

Menjelang kurang 100 hari ke tahun 2025, kita mengharapkan perkara yang lebih baik untuk dunia dan populasinya. – UTUSAN

Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Ulasan