Malaysia berada di pihak benar isu konflik maritim dengan China


Malaysia berada di pihak benar isu konflik maritim dengan China
Oleh Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid - September 9, 2024 @ 10:20am
Beting Patinggi Ali terletak hanya 155 kilometer dari Pantai Tanjung Baram, Miri, Sarawak dan berada dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Malaysia adalah sebuah negara maritim di dunia dengan kedudukan geografi strategik di sebelah timur tenggara Asia. Dalam jajaran kejiranan Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Brunei dan Filipina antara negara maritim sering berdepan konflik antara satu sama lain susulan pertikaian wilayah serta tuntutan bertindih tanah termasuk zon maritim.

Selat Melaka dan Laut China Selatan adalah dua zon maritim sangat sensitif dan sering menimbulkan pertikaian antara negara kejiranan seperti Malaysia-Singapura, Malaysia-Indonesia dan Malaysia-Filipina.

Bagi Malaysia, Batu Putih adalah antara pertikaian wilayah maritim meremuk hati rakyat
apabila Singapura menang dalam tuntutannya pada 28 Mei 2008. Ia ditambah lagi apabila kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad membatalkan permohonan kerajaan sebelum itu, menyemak semula keputusan itu pada 2018.

Pasang surut pertikaian antara negara ASEAN ini bermusim seperti menjelangnya pilihan raya umum negara berkaitan. Pertikaian akan kedengaran apabila berlaku kekerapan pencerobohan
nelayan dan tentera. Selalunya pertikaian yang terjadi akan disusuli dialog dan mesyuarat antara pemimpin negara.
Disyorkan Untuk Anda










Bagaimanapun, pertikaian wilayah maritim menjadi lebih galau apabila membabitkan kuasa besar seperti China. Bagaimanapun, hubungan antara Malaysia dan China kadang kala disusuli konflik maritim tradisi di kepulauan Spratly kerana menjadi pertikaian zon maritim bertindih Filipina, Indonesia, Vietnam, Brunei, Malaysia dan China.

Terbaharu, Pejabat Kedutaan Malaysia di Beijing dikatakan menerima nota bantahan susulan China tidak berpuas hati kerana PETRONAS menjalankan cari gali minyak di wilayah dikenali sebagai 'xxxx' didakwa perairan negara itu di Laut China Selatan.

Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada di Vladivostok, Russia menghadiri Forum Ekonomi Timur, menegaskan Malay- sia akan meneruskan aktiviti cari gali minyak di kawasan berkaitan dan pada masa sama sedia berunding dengan Beijing.

Berdasarkan beberapa sumber berita, Beijing dikatakan menggerakkan armadanya ke lautan China Selatan berhampiran kawasan pertikaian. Tindakan China ini dilihat agresif dan provokatif untuk menghalang Malaysia serta menghentikan aktiviti cari gali minyak di kawasan beting Raja Jarum dan Patinggi Ali.

Hakikatnya, aktiviti cari gali minyak dan gas oleh PETRONAS di kedua-dua zon berkaitan tidak melanggar Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) kerana Malaysia berada di pihak yang benar dan tidak melakukan 'pencerobohan wilayah' seperti didakwa China.

Peta 'Nine Dash Line' tidak sah

Ia bersandarkan keputusan Mahkamah Tribunal di The Hague, Belanda pada 2016 memutuskan peta 'Nine Dash Line' atau 'sembilan garis putus-putus' dikeluarkan China di Laut China Selatan sebagai tidak sah.

Secara logik, kedua-dua beting terbabit terletak hanya 155 kilometer dari Pantai Tanjung Baram, Miri, Sarawak dan hampir 2,000 kilometer dari daratan terdekat China. Kedua-dua zon itu pula berada dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Menurut UNCLOS, sesebuah negara boleh memanjang sejauh 200 batu nautika daripada garis dasar pantainya. Paling penting di ZEE, mana-mana negara boleh mengeksploitasi sumber semula jadi seperti minyak, gas dan sumber laut di dasar serta lautan.

Selain itu, negara terbabit dibolehkan melindungi alam sekitar serta menjalankan aktiviti penyelidikan saintifik. Maka, di ZEE ini Malaysia berhak menjalankan semua aktiviti dibenarkan mengikut UNCLOS dan pada masa sama berhak melarang mana-mana negara menceroboh wilayah itu atas sebab sama.

Berdasarkan beberapa justifikasi ini, Malaysia wajar mempertahankan kedaulatan maritim di zon dipertikai China. Tindakan meneruskan aktiviti cari gali minyak dan gas di zon terbabit bukan kerana Malaysia berdegil dan tidak menghormati China sebaliknya berasaskan undang-undang dan kelangsungan ekonomi negara.

Malaysia tidak akan berdiam diri dan bersedia untuk berbincang di meja rundingan. Malaysia seperti negara ASEAN lain masih kekal menjunjung prinsip zon aman, bebas dan berkecuali (ZOFPAN) dan tidak mahu pertikaian zon maritim berakhir dengan konflik berdarah.

Jika ini terjadi tentunya konflik wilayah maritim di Laut China Selatan akan merebak dan membesar, membabitkan kuasa besar lain seperti Amerika Syarikat (AS) dan Russia.

Konflik terbaharu ini tidak akan menjejaskan
hubungan diplomatik Kuala Lumpur-Beijing, tetapi pihak keselamatan dan barisan hadapan perlu sentiasa bersiap siaga jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Pada masa sama, netizen di media sosial tidak patut mengeruhkan suasana menerusi 'peperangan siber' yang boleh mengeruhkan keadaan. Pembangkang pula wajar merapatkan saf dan membina benteng sokongan kepada usaha kerajaan mencantum 'benang tercarik' ini.

Rakyat amat mengharapkan pendekatan dan penyelesaian terbaik daripada kepimpinan negara supaya hubungan Malaysia-China dalam konteks pertikaian maritim ini kembali mengendur, diteruskan di meja rundingan menurut perundangan antarabangsa.

Penulis adalah Penyelidik bagi Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan & Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia

Ulasan