Mangsa banjir di PPS dijamin peroleh sumbangan
September 25, 2024
ALOR SETAR: Kerajaan negeri memberi jaminan setiap keluarga mangsa banjir yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), tetapi belum menerima sumbangan RM1,000 akan memperolehinya di kediaman masing-masing.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan jaminan tersebut pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Jelasnya, sebahagian daripada mereka telahpun menerima sumbangan tersebut di PPS, manakala sebahagiannya belum, berikutan PPS telah ditutup dan mereka diarahkan pulang ke rumah masing-masing kerana paras air telah turun.
“Kita faham ada di kalangan mereka bimbang tak dapat wang sumbangan tersebut. Ada yang tak mahu balik. Kalau PPS dah tutup, pegawai daerah pergi ke rumah.
“Sebab data dan maklumat penghuni PPS ada di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah masing-masing,” jelasnya di mana setakat ini terdapat 3,517 keluarga berpindah ke PPS di setiap daerah yang terlibat dan membabitkan peruntukan hampir RM3.6 juta.
Dalam pada itu Sanusi memaklumkan, beliau tidak mempunyai maklumat berkenaan sumbangan RM1,000 daripada Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) di bawah agensi Kerajaan Persekutuan.
Namun beliau difahamkan, sebahagiannya telah disampaikan dan mengharapkan semua dapat diuruskan dengan sempurna.
Sementara ujarnya, mangsa banjir di Kedah merekodkan penurunan ke 2,942 mangsa daripada 939 keluarga yang ditempatkan di 20 PPS, setakat hari ini.
“(Sebanyak) 10 PPS di Pendang, lapan di Daerah Kota Setar dan dua lagi di daerah lain,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain beliau menegaskan, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan membantu membaiki rumah-rumah yang terjejas akibat dilanda ribut.
Di Kedah katanya, terdapat 700 rumah rosak dan Daerah Baling mencatatkan angka paling tinggi di mana kos pembaikan di bawah RM15,000 akan dibiayai oleh LZNK, manakala melebihi RM15,000 akan menggunakan dana dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Sik pun ramai yang rumah rosak akibat ribut, Ada pokok tumbang, ada yang timpa rumah,ada rumah yang diterbangkan bumbung. Semalam kita dah lantik tukang rumah, hari ini mula baiki,” jelasnya.
ADUN Jeneri itu juga berkata, walaupun Daerah Baling dan Sik tidak dilanda banjir, namun bencana akibat ribut lebih teruk berbanding air bah.
Rumah yang rosak akibat ribut terutama diterbangkan bumbung ujarnya, tidak dapat dihuni selagi tidak diperbaiki, sebaliknya rumah ditenggelami air, boleh dicuci dan dihuni semula.
Dalam pada itu, Sanusi turut menegaskan sumbangan RM1,000 tidak akan diberikan kepada keluarga mangsa banjir yang tidak pindah ke PPS, namun pihak kerajaan akan membantu membaiki rumah mangsa berkenaan sekiranya rosak atau sebagainya. – HARAKAHDAILY 25/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan