MAPS RM250 juta diroboh, Kerajaan Perak membisu



MAPS RM250 juta diroboh, Kerajaan Perak membisu
September 7, 2024


BAGAN SERAI: Kerajaan Negeri Perak sehingga kini masih membisu seribu bahasa berkenaan tindakan perobohan bangunan Movie Animation Park Studio (MAPS) di Bandar Meru Raya, Ipoh.

Ketua Pembangkang DUN Perak yang juga ADUN Semanggol, Razman Zakaria berkata, walaupun perkara ini dibangkitkan pada Sidang DUN, tetapi jawapan Menteri Besar amat mengecewakan.

“Dalam Sidang DUN Julai lalu, saya mengemukakan persoalan mengenai hal ini tetapi amat malang, jawapan yang diberikan oleh Menteri Besar, bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai hak ke atas MAPS, sangat menghampakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu ujarnya, ADUN-ADUN Pakatan Harapan (PH) negeri itu juga seolah-olah terkunci mulut sedangkan merekalah dahulunya bersungguh-sungguh bagai gegak gempita melaungkan MAPS yang didakwa seperti 1MDB versi Perak.

“Entahlah, mungkin dah rasa selesa duduk di kerusi empuk sebagai kerajaan yang majoritinya sebagai Exco, seolah-olah tak bermanfaat nak mempersoalkan perkara ini lagi,” kesal beliau.

Kata Razman lagi, rakyat perlu diberi penjelasan apakah tujuan bangunan bernilai RM520 juta itu diroboh dan adakah benar tanah tersebut telah dijual kepada pihak persendirian untuk dibangunkan perumahan elit dan mewah.

“Adakah dakwaan ini benar dan apakah status tanah tapak MAPS itu sekarang? Kerajaan negeri perlu jawab dan jelaskan kepada rakyat,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau mengharapkan apa jua projek yang bakal dibangunkan nanti perlulah mendatangkan manfaat buat rakyat dan bukan hanya menguntungkan pihak tertentu. – HARAKAHDAILY 7/9/2024

Ulasan