Berita
MCA ingatkan Loke: Insiden berulang rosakkan reputasi MAS
Diterbitkan: Sep 2, 2024 4:56 PM
Dikemaskini: 4:59 PM
Pemuda MCA menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke supaya segera membantu secara serius dan menangani masalah yang dihadapi Malaysia Airlines (MAS) agar insiden pendaratan cemas dapat dielakkan.
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong, berkata ia sesuatu yang serius apabila lima insiden pesawat MAS terpaksa patah balik sejak Jun tahun ini.
"Loke harus sedar, kekerapan insiden seumpama ini bukan sahaja merosakkan reputasi MAS sebagai penerbangan nasional, tetapi juga menjejaskan keselesaan malah membahayakan keselamatan penumpang.
"Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengambil langkah mengurangkan tempoh pembaharuan sijil perakuan pengendali udara (AOC) MAS daripada tiga tahun kepada satu tahun.
"Seterusnya langkah-langkah konstruktif yang segera perlu diambil Loke dan kementeriannya secara aktif untuk mengatasi masalah tegar MAS, termasuk pesawat usang, kekurangan komponen mekanikal serta tenaga mahir," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mike Chong
Terdahulu sebuah MAS yang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan dilaporkan telah berpatah balik, awal pagi tadi.
Menurut laman Flightradar24, penerbangan yang menggunakan pesawat Airbus A330-323 itu berlepas dari KLIA pada pukul 12.01 awal pagi tadi sebelum berpatah balik dan selamat mendarat di KLIA beberapa jam kemudian.
Menurut maklumat di laman penjejak penerbangan global itu, pesawat MH66 sepatutnya berlepas pada 11.30 malam tadi.
Anthony Loke
Bagaimanapun, Malaysia Airlines setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.
Ini merupakan insiden kelima melibatkan penerbangan MAS terpaksa berpatah balik atau dilencongkan dalam tempoh kira-kira sebulan.
Ulasan
Catat Ulasan