Meraikan permulaan sebuah akhbar dan sejarahnya


Meraikan permulaan sebuah akhbar dan sejarahnya
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
2 September 2024, 7:00 am

Muka hadapan Utusan Malaysia hari ini adalah hampir sama dengan susun atur dan rekaan termasuk “mast head” ketika akhbar ini dilancarkan pada 1 September 1967.

Ini adalah rupa akhbar Utusan Malaysia ketika ia dilancarkan lebih lima dekad lalu. Untuk empat edisi Isnin sepanjang September, akhbar ini akan memaparkan muka hadapan dan reka letak seperti mana setiap dekad terdahulu bagi mengimbau sejarah penubuhannya dan peranannya kepada sejarah negara. Utusan Malaysia yang ditatap ribuan pembaca hari ini bermula 57 tahun lalu. Api yang menyemarakkan kelahirannya bermula 85 tahun lalu dengan penerbitan Utusan Melayu di Singapura. Semangat itu menjadi obor kepada kewujudan Utusan Malaysia hampir enam dekad lalu.

Pengasas dan pengarang ketika itu mahu akhbar ini menjadi sumber maklumat pelbagai bidang selain memartabatkan dan meneruskan tradisi kewartawanan Melayu serta bahasa Melayu itu sendiri.

Hari ini, akhbar ini bukan hanya menjadi “Penyebar Fikiran Bangsa dan Nusa” ketika dilancarkan dahulu. Dengan usia yang bermula 85 tahun lalu, Utusan Malaysia sudah menjadi satu institusi dalam sejarah persuratkhabaran Malaysia. Ribuan pengarang dan wartawan telah mencorakkan perjalanan akhbar ini sepanjang 57 tahun lalu.

Edisi khas ini bertujuan menghargai permulaannya seperti mana negara meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke 67 kelmarin. Sejarah yang tidak diraikan adalah sama seperti sejarah yang dilupakan.

Hari ini dalam kepesatan ekonomi dan dunia digital, sejarah menjadi fakta yang tidak memberi makna terutama kepada golongan muda. Pada satu ketika, detik 12 malam 31 Ogos dinantikan dengan penuh kegembiraan. Tempat seperti Dataran Merdeka menjadi “Mekah” kepada rakyat yang mahu mengingati kebebasan yang dicapai negara selepas 446 tahun dijajah.


Hari ini golongan muda lemas dalam permainan online di kedai mamak bersama rakan-rakan tanpa terdetik sedikit pun bahawa jam sudah melewati 12 malam 31 Ogos yang mana laungan merdeka bergema 67 tahun lalu.

Akhbar ini adalah satu institusi sama ada disukai atau tidak oleh mana-mana pihak. Apa yang disiarkan di bawah bendera Utusan Malaysia – Pemikiran Baru hanya bertujuan memartabatkan bidang kewartawanan supaya dihormati tanpa mengira sama ada sesuatu tulisan atau laporan disukai atau sebaliknya.

Era yang mana sesuatu akhbar harus cenderung kepada pihak tertentu tanpa mengambil kira pandangan pihak lain sudah berakhir seperti mana apa yang “mentalqinkan” akhbar ini lebih empat tahun lalu sebelum dilancarkan semula.

Akhbar ini akan kekal menghargai perbezaan pendapat sebagai asas mana-mana demokrasi yang segar selagi tidak menggalakkan sifat ekstrimis sehingga membawa kepada kehancuran. Perbezaan pendapat yang berteraskan intelek harus diraikan supaya negara tidak akan lekang daripada melahirkan pemikir dan pencetus idea.

Untuk akhbar ini kekal sebagai wadah maklumat, pembaca akan menentukan kelangsungannya. Sama ada ia akan wujud satu dekad daripada sekarang atau 100 tahun lagi dan menjadi semegah akhbar seperti New York Times, Washington Post, The Guardian dan banyak lagi bergantung kepada penerimaan pembaca. Apabila tiada lagi pembaca maka matilah akhbar.

Akhbar ini akan berusaha memastikan ia akan meraikan banyak lagi ulang tahun pada masa hadapan supaya wartawan sedia ada hari ini akan menerajui akhbar ini pada masa depan. Tetapi untuk memastikan masa depan institusi ini wujud 100 tahun daripada sekarang, pembaca menjadi penentunya. Terdapat 34 juta penduduk yang mana 17.7 juta adalah Melayu. Mereka penentunya. Malah ada yang menyatakan kemarahan apabila berita akhbar ini diletakkan di bawah segmen bayaran.

Apa yang ramai lupa, setiap berita yang dijana membabitkan kos seperti mana kakitangan awam menuntut kenaikan gaji. Tidakkah bidang kewartawanan berhak meraih faedah kepada semua usaha mencelikkan masyarakat.

Jika satu peratus atau hanya 340,000 daripada keseluruhan sosok-sosok di bumi Malaysia ini melanggan sama ada versi cetak atau digital Utusan Malaysia, ia akan memastikan bahawa akhbar ini akan terus bernyawa untuk 100 tahun lagi.

Apa yang mendorong akhbar ini untuk terus menceritakan setiap kisah adalah kerana pembaca seperti Puan Salbiyah dari Kuala Lumpur yang menulis “Terima kasih kepada pihak Utusan Malaysia kerana masih lagi membekalkan surat khabar fizikal walaupun di zaman teknologi yang serba canggih ini, boleh melayari isu-isu terkini di media sosial, tetapi bagi warga emas seperti kami masih boleh lagi melanggan surat khabar, saya amat senang dan seronok sekali membaca surat khabar secara fizikal, diharapkan agar Utusan Malaysia terus maju jaya. Terima kasih.” Beliau melanggan akhbar ini sejak 2021.

Terima kasih Puan Salbiyah di atas kepercayaan terhadap Utusan Malaysia. Akhbar ini akan memastikan bahawa harapan puan tidak akan dikecewakan. Dengan sokongan pembaca, satu hari nanti akhbar ini akan dapat berdiri megah sebagai institusi merdeka yang tidak perlu bergantung kepada platform teknologi asing. – UTUSAN

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Ulasan