MOU peruntukan PN: Kenapa Anwar rasa tergugat? - Wan Fayhsal




MOU peruntukan PN: Kenapa Anwar rasa tergugat? - Wan Fayhsal
Diterbitkan: Sep 3, 2024 5:59 PM

Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal mempersoalkan syarat yang diletakkan kerajaan bagi memberikan peruntukan kepada pembangkang menerusi memorandum persefahaman (MOU).

Ahli Parlimen Machang itu membandingkan kerajaan negeri diterajui PN yang telah memberikan peruntukan sama rata kepada ahli parlimen pembangkang di negeri-negeri seperti Kedah dan Kelantan tanpa sebarang syarat.

"Ini satu perkara yang tidak ikhlas sedangkan negeri-negeri pembangkang Kedah, Kelantan, kita bagi peruntukan sama-rata tanpa syarat kepada wakil rakyat pembangkang.

"Jadi kenapa (Perdana menteri) Anwar Ibrahim yang memiliki sokongan dua pertiga seolah-olah beliau dalam keadaan tergugat. Apakah beliau tak yakin dengan sokongan yang ada daripada ahli-ahli parlimen yang menyokong beliau sekarang?" katanya ketika dihubungi Malaysiakini.


Kenyataannya dibuat selepas ketua whip pembangkang Takiyuddin Hassan berkata kerajaan meletakkan tujuh syarat untuk wakil rakyat PN menerima peruntukan pembangunan di kawasan masing-masing.

Antaranya tidak dibenarkan menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) dan mewajibkan semua ahli Parlimen PN mengisytiharkan harta mereka kepada kerajaan.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata ahli parlimen pembangkang juga perlu bersetuju menyokong kerajaan sehingga akhir penggal ini.

‘Rakyat tak dibantu kerana beza politik’

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata ramai rakyat di kawasan pembangkang hidup dalam kesusahan dan perlu dibantu.

Justeru katanya, kerajaan perlu mengutamakan keperluan rakyat, tanpa mengira fahaman politik mereka.

"Kalau tak nak bagi semua pun bagi sajalah sekurang-kurangnya peruntukan yang boleh membantu rakyat, ramai yang susah.

“Setakat ini memang bantuan tak sampai dan ramai yang melarat di kawasan-kawasan parlimen kami, kemiskinan tegar belum dinoktahkan, jadi banyak benda yang sepatutnya kerajaan boleh bantu, (tapi) tak dibantu atas perbezaan politik,” katanya lagi.

Pada 20 Ogos lalu, Takiyuddin mengesahkan telah menerima draf MOU itu dan akan membincangkannya tidak lama lagi.


Takiyuddin sebelum ini berkata draf itu perlu dibentangkan kepada pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan pemimpin lain sebelum dimuktamadkan

Pada 9 Julai lalu, Anwar berkata isu peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang tidak sepatutnya menjadi perkara yang rumit untuk diselesaikan.

Kata Anwar, syarat bagi mana-mana ahli parlimen pembangkang yang ingin mendapatkan peruntukan adalah keperluan asas dan prosedur standard dalam mana-mana rundingan dan amalan demokrasi.

Ulasan