Muafakat Nasional kekal NGO, tolak jadi parti politik


Muafakat Nasional kekal NGO, tolak jadi parti politik
September 1, 2024

Tan Sri Annuar Musa

KOTA KINABALU: Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, MN adalah NGO iaitu badan sukarela yang memberi khidmat bukan parti politik.

“Tiada siapa yang mempunyai kuasa membubarkan MN kerana dalam perlembagaan MN, jawatankuasa peringkat negeri dilantik oleh pusat dan ia tidak boleh dibubarkan oleh sesiapa.

“Sekarang ini timbalan pengerusi, ahli jawatankuasa dan AJK masih ada, jadi saya mengambil sikap terbuka, MN Sabah diteruskan macam biasa,” ujarnya yang juga AJK PAS Pusat pada sidang media selepas majlis perasmian Konvensyen PAS Sabah, di sini, semalam.

Menurutnya, beliau akan berjumpa ahli jawatankuasa dengan segera mengenai dakwaan pembubaran MN Sabah dan yakin isu akan selesai.

“Saya mengambil sifat terbuka berita berkenaan yang tersiar itu kerana bahawa timbalan, naib-naib serta ahli jawatankuasa juga mahu meneruskan MN Sabah seperti biasa,” ujarnya.

Mengulas berkenaan hilang kepercayaan, beliau berkata MN cuba dipolitikkan dan menasihatkan supaya ia kekal sebagai NGO.

Beliau berkata, sebelum ini diketahui ada isu bahawa MN Sabah menghantar minit mesyuarat mencadangkan ia menjadi parti politik dan mencadangkan beliau sebagai presiden.

“Isu MN Sabah ini adalah masalah satu individu berkenaan yang mahu menjadi Ketua Menteri Sabah, jadi saya bimbang pilihan raya belum dilaksanakan, pengerusi penaja MN Sabah mengisytiharkan mahu menjadi Ketua Menteri.

“Saya tersepit jika dia mahu menjadi Ketua Menteri Sabah, terima kasih melepaskan jawatan, MN Sabah boleh berjalan ikut dasar, yang ingin berpolitik masuk parti, MN biar kekal sebagai badan NGO, menghidupkan semangat MN,” jelasnya lagi.

Semangat MN mengutamakan perpaduan, justeru, katanya tidak perlu risau kepada MN yang meneruskan menjaga keharmonian, meninggalkan politik kebencian serta mengutamakan rasa menghormati dalam dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan mengadakan program kebajikan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan cadangan untuk menjadikan MN sebagai parti politik terpaksa ditolak. – HARAKAHDAILY 1/9/2024

Ulasan