Muktamar lulus usul perkasa undang-undang syariah
September 15, 2024
TEMERLOH: PAS sejak awal penubuhannya telah menetapkan pendirian untuk melaksanakan pemerintahan dan pelaksanaan syariat Islam dalam negara ini.
Perwakilan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Marzuki Mat Yusuf sehubungan itu mengemukakan usul ‘Memperkasakan undang-undang Syariah’ untuk ia diangkat secara konsisten.
Tegas beliau, ia sehingga perundangan syariah terus dimartabatkan di Malaysia tanpa ada gugatan, mahupun pihak-pihak anti syariat berterusan untuk melemahkan syariah dan menyempitkan bidang kuasa yang dijamin Perlembagaan.
“Namun perjuangan sebenar mereka untuk membatalkan perkara 121 1A, yang telah diperjuangkan oleh Profesor Ahmad Ibrahim seorang ahli PAS yang banyak menyumbang pemerkasaan perundangan Islam dan mahkamah syariah.
“Kesannya nanti orang Islam boleh membawa kes mereka ke mahkamah sivil sebagaimana sebelum pindaan pada tahun 1988. Mahkamah Syariah akan hilang kuasa eksekutifnya, dan membicarakan kes melibatkan orang Islam,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ‘Memperkasakan undang-undang syariah’ pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Dewan Ulamak menggesa kerajaan bekerjasama menubuhkan jawatankuasa pemandu bersama kerajaan negeri untuk diguna pakai sebagai rujukan oleh badan-badan berautoriti di peringkat negeri dan Persekutuan.
Kedua jelasnya, sekretariat tetap memperkasaan syariah kerajaan negeri yang perlu diwujudkan bagi menyediakan pelan tindakan jangka pendek dan panjang atas cadangan penyelesaian terhadap isu-isu perundangan Islam yang berlaku dalam bidang kuasa negeri.
Manakala ketiga katanya, undang-undang tubuh negeri perlu memasukkan punca kuasa kehakiman mahkamah syariah serta kedudukan dan bidang kuasa mahkamah syariah secara jelas.
Yang keempat tambahnya, perlu diberi bantuan dan sokongan kepada negeri yang untuk mewujudkan Majlis Guaman Syari dan Enamen Guaman Syarie Negeri.
Sementara kelima katanya, wacana atau persidangan Exco Perundangan Syariah di peringkat negeri perlu diwujudkan.
“Dewan Ulama PAS berharap agar usul ini mendapat perhatian sewajarnya daripada semua pihak ke arah membuka lembaran baru untuk memperkasakan syariah di Malaysia,” kata beliau.
Sementara itu usul yang dicadangkan itu kemudiannya disokong oleh Perwakilan PAS Negeri Kelantan, Nik Bahrum Nik Abdullah sambil mencadangkan beberapa peruntukan yang perlu dipinda.
Jelasnya, ia bagi memperkukuhkan kedudukan perundangan Islam, serta memastikan Mahkamah Syariah diberi kuasa dan autonomi yang lebih kukuh.
Katanya, antara peruntukan yang perlu dipinda ialah Perkara 121 (1A) yang menyentuh mengenai kedaulatan Mahkamah Syariah, di mana ianya perlu dipinda bagi memastikan tiada campur tangan Mahkamah Sivil bagi kes melibatkan orang Islam dalam semua perkara
Selain itu, beliau turut mencadangkan pindaan terhadap Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang berkait dengan hal ehwal Islam negeri-negeri.
Ini katanya, bagi memperluaskan kuasa kerajaan negeri dalam menggubal undang-undang Islam dengan memberikan kuasa tambahan kepada negeri.
Selain itu ujarnya, Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan mengenai pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, manakala cadangan lain adalah pindaan terhadap Perkara 8 yang menyentuh mengenai prinsip kesamarataan.
“Ia perlu dipinda kerana perkara ini lah yang sering dijadikan asas oleh pihak-pihak tertentu untuk mencabar perundanga Islam yang didakwa bertenetangan dengan prinsip kesamarataan,” katanya.
Usul tersebut diluluskan sebulat suara oleh semua perwakilan yang hadir pada hari ini. – HARAKAHDAILY 15/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan