Muktamar PAS Ke-70 lulus lima usul tanpa bahas


Muktamar PAS Ke-70 lulus lima usul tanpa bahas
September 15, 2024

TEMERLOH: Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mengumumkan lima usul diluluskan tanpa bahas pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 yang berlangsung di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.

Usul-usul tersebut ialah berhubung royalti petroleum negeri Terengganu yang dikemukakan PAS Kawasan Marang di mana mengecam Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ia ekoran tindakan menyekat pembayaran penuh royalti petroleum sebanyak lima peratus sejak 2023, sekali gus menyaksikan rakyat terhalang untuk mendapat pelbagai siri bantuan diperkenalkan kerajaan negeri sejak 2019.

“Seperti pencen rakyat, skim kad sejahtera, I-fitri, I-siswa dan I-belia. Begitu juga dengan program-program dan pembangunan lain seperti lesen motosikal percuma untuk belia, pembinaan pusat autisme dan menaik taraf SRIDI dan SMIDI juga tidak dapat dilaksanakan,” ujar PAS Marang.

Usul kedua adalah nafas baru kepada syarikat Padi dan Beras Negara (BERNAS) dibawa PAS Kawasan Jerlun yang mendesak kerajaan memperkasakan semula syarikat itu agar menjadi pemain industri padi utama negara.

Iaitu tegas usul itu, dengan menerima peruntukan yang lebih besar dalam semua aspek input dan output pertanian berbanding syarikat-syarikat swasta atau pengilang-pengilang yang kini mendominasi insentif-insentif tertentu melalui peruntukan kerajaan.

Usul dilulus tanpa bahas juga turut mendesak kerajaan untuk mengkaji semula polisi pengambilan pekerja asing yang semakin hari dilihat semakin ramai di negara ini di mana dikemuka PAS Kawasan Pontian.

“Ianya dilihat selain mendatangkan ancaman ianya juga mencuri peluang perkejaan bagi rakyat tempatan,” ujar usul tersebut.

PAS Kawasan Pandan pula mengemukakan usul mengenai sasaran 2 juta keahlian PAS kerana parti ini sudah bersedia memerintah negara di mana mentadbir empat negeri sudah mempamerkan corak pentadbiran dan rekod yang sangat baik.

“Penutupan pusat-pusat judi di empat negeri ini juga merupakan salah satu contoh daripada ribuan komitmen tinggi PAS dalam memastikan apa jua gejala yang meruntuhkan masyarakat dibasmi sepenuhnya.

“Justeru, bagi memastikan PAS terus bersedia berdepan dengan cabaran berikutnya, adalah diusulkan agar PAS Pusat menggerakkan sasaran keahlian PAS kepada 2 juta ahli sebelum menjelangnya PRU16.

“Ini memandangkan keahlian PAS di seluruh negara ketika ini adalah seramai 1,050,000 orang (ketika ini),” hujah PAS Pandan.

Turut diluluskan adalah berkenaan pemerkasaan logo Halal dikemukakan PAS Kawasan Parit dengan mendesak JAKIM agar memperkenalkan logo yang dapat membezakan produk makanan buatan syarikat Muslim dan syarikat non-Muslim

Jelas mereka, ia bagi membolehkan umat Islam di Malaysia tidak lagi berterusan dalam dilema dan keraguan berhubung status halal makanan yang dipasarkan di negara ini. – HARAKAHDAILY 15/9/2024

Ulasan