Muktamar PAS kembali ke Pahang selepas 5 tahun


Muktamar PAS kembali ke Pahang selepas 5 tahun
September 14, 2024

TEMERLOH: Kompleks Al Makmur, Kerdau, sekali lagi menjadi saksi kepada perhimpunan besar ahli-ahli PAS apabila Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 berlangsung dengan penuh semangat, di sini.

Acara ini sekali lagi diadakan di negeri dalam tempoh lima tahun, telah menarik kehadiran para perwakilan, pemerhati dan dif kehormat dari seluruh negara seawal sebelum jam 7:00 pagi lagi.

Para perwakilan lelaki mengenakan baju Melayu putih, lengkap dengan sampin, memperlihatkan tradisi Melayu yang masih utuh, manakala para muslimat tampil anggun dengan baju kurung putih tradisional.

Kehadiran mereka melambangkan semangat tinggi bukan sahaja untuk bermuktamar, tetapi juga bermuhasabah, memperkukuh ukhuwah, serta memperteguhkan perjuangan demi agama, bangsa, dan negara.

Acara rasmi bermula pada jam 9:00 pagi dengan perarakan masuk pimpinan tertinggi PAS diketuai oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, diikuti Presiden PAS, Tuan Guru Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, serta barisan pimpinan lain.

Lagu kebangsaan Negaraku dan lagu rasmi PAS dinyanyikan dengan penuh semangat oleh semua yang hadir.

Majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Tetap, Senator Dato’ Hussin Ismail, diikuti bacaan doa oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Zuridan Mohd Daud, serta bacaan ayat suci Al-Qur’an oleh Ustaz Ahmad Shukri Suhaimi.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan, turut menyampaikan ucapan aluan yang membangkitkan semangat hadirin, sebelum acara kemuncak iaitu Ucapan Dasar dan Perasmian oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Muktamar kali ini menjadi medan penting bagi para perwakilan dan pemerhati untuk memperbaharui semangat dan iltizam dalam perjuangan politik dan agama.

Pahang, yang terakhir menjadi tuan rumah pada 2019, sekali lagi menjadi lokasi simbolik bagi perhimpunan tahunan PAS ini. – HARAKAHDAILY 14/9/2024

Ulasan