Muktamar PAS yang mencemaskan
September 22, 2024
PADA 14 – 15 September yang lalu, PAS telah mengadakan Muktamar kali ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, Pahang Darul Makmur.
Muktamar kali ini menyaksikan pelbagai isu terkini ditimbulkan dalam perbahasan ucapan Presiden dan juga perbahasan usul oleh perwakilan-perwakilan. Yang lebih menarik ialah bagaimana Muktamar PAS kali ini begitu mencemaskan Kerajaan Perpaduan dan seteru politik PAS sehingga pelbagai kenyataan rasmi dikeluarkan sebagai respon.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengeluarkan kenyataan media berkenaan Muktamar PAS tersebut. Beliau menyebut dalam kenyataannya yang dihalakan khusus kepada Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS bahawa kononnya “PAS hari ini telah menyimpang jauh dari perjuangan asal yang diasaskan oleh tokoh-tokoh seperti Prof Zulkifli Muhammad, Burhanuddin Al Hilmi, Ustaz Fadhil Noor, Yusuf Rawa dan Tuan Guru Nik Aziz”.
Kenyataan ini boleh dilihat sebagai sesuatu yang janggal atas dua perkara utama.
Pertama, ia dikeluarkan oleh Saifuddin Nasution atas kepala surat Pejabat Menteri Dalam Negeri dan atas kapasiti utamanya sebagai Menteri Dalam Negeri. Adalah menjadi sesuatu yang bukan sahaja janggal dan canggung malah memeranjatkan apabila ucapan Presiden PAS dalam Muktamar PAS dijawab dengan kepala surat kerajaan atas kapasiti kerajaan. Apakah Saifuddin Nasution gagal membezakan antara isu politik dan isu pentadbiran kerajaan?
Keduanya, kenyataan media yang “menghentam” pandangan Presiden PAS tersebut yang kononnya telah menyimpang daripada perjuangan asal juga, hampir-hampir seolah-olah menuding ke muka sendiri.
PAS tetap kekal istiqamah dengan perjuangannya, bahkan mengorak langkah demi langkah dengan bergaya apabila tertubuhnya SG4 dan juga termaktubnya pindaan Perlembagaan PAS yang menjamin keterbukaan PAS dalam demokrasi.
Idea gagasan SG4 adalah jawapan tuntas kepada tuduhan-tuduhan kosong bahawa PAS tiada idea untuk mentadbir sekiranya mengambil alih pentadbiran Persekutuan, dan pindaan Perlembagaan PAS yang antara lainnya membuka keahlian bersekutu kepada orang bukan Islam jelas mengisyaratkan bahawa PAS tidak seperti yang dilabel, tidak mesra atau anti kepada bukan Islam. Apakah itu yang mencemaskan Saifuddin?
Walhal, Saifuddin kira-kiranya terlupa untuk melihat kegagalan kerajaan campuran sendiri yang telah jauh menyimpang daripada perjuangan asal.
Perjuangan “reformasi” dalam pelbagai warna dan janji telah diabaikan sama sekali. Tidak hairanlah rakan sendiri menggelar mereka “kerajaan terpaling diktator” kerana hancurnya kebebasan bersuara ketika pemerintahan Kerajaan Madani. Bukankah itu menyimpang jauh dari perjuangan asal?
Begitu juga, laungan kesamarataan dan keadilan peruntukan kepada pembangkang dan juga prinsip Federalisme yang ingin didukung bagi menjamin pembayaran royalti kepada negeri-negeri yang layak, dijadikan lebih sukar ketika memegang tampuk kerajaan.
Kini, rundingan MoU yang dikatakan punya agenda tersembunyi dan juga mengandungi terma-terma “mencengkam” dijadikan pra-syarat pula bagi memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang yang sepatutnya berhak mendapatnya bagi kebaikan rakyat.
Bukankah itu menyimpang jauh dari perjuangan asal? Moga Saifuddin Nasution dalam cemasnya melihat PAS melangkah bergaya, sedar ke mana arahnya dia menuding jarinya. – HARAKAHDAILY 22/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan