Nasib Tebing Barat kini seperti Gaza
KENDERAAN berperisai tentera Israel menyerbu sepanjang jalan di Tulkarm, dalam operasi ketenteraan di utara Tebing Barat pada 29 Ogos lepas.- AFP
Oleh Athirah Huda Zalhe
1 September 2024, 8:05 am
GAZA: Peningkatan operasi ketenteraan Israel di Tebing Barat minggu ini, mengheret penduduk Palestin di wilayah itu menerima nasib sama seperti di Gaza.
Operasi yang berlangsung selama tiga hari menyebabkan tekanan dan perpindahan penduduk secara besar-besaran dari kawasan tersebut.
Sejak Rabu, Israel melakukan operasi ketenteraan berskala besar di bandar Tulkarm, Jenin dan Tubas di utara Tebing Barat, merupakan serangan paling meluas sejak 2002.
Serangan itu menyebabkan kebanyakan penduduk terpaksa berpindah dari kejiranan timur Jenin di utara Tebing Barat pada malam Jumaat.
Sebahagian mereka terpaksa meninggalkan kediaman dalam keadaan kekurangan bekalan makanan dan air akibat operasi itu.
“Tentera Israel menyerbu rumah kami, merampas peralatan, makanan dan segala yang mereka perlukan, selain menjadikan kediaman kami sebagai pos tentera,” kata seorang penduduk, Jaber Abu Raih.
Setakat semalam, sekurang-kurangnya 20 warga Palestin terbunuh akibat serangan tentera Israel.
Kumpulan pejuang Hamas mengutuk serangan berterusan tentera Israel di Tebing Barat dan menyifatkan tindakan rejim sebahagian daripada strategi untuk merampas tanah Palestin dan mengusir penduduk secara paksa.
Kumpulan itu dalam kenyataan pada Jumaat berkata, serangan yang tertumpu di bandar Jenin adalah kesinambungan daripada jenayah perang yang dilakukan oleh Israel di seluruh Gaza dan Tebing Barat.
Ketegangan di Tebing Barat semakin memuncak di tengah serangan kejam Israel di Gaza, yang kini membunuh lebih 40,600 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Sekurang-kurangnya 673 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat, manakala 5,400 yang lain cedera dan lebih 10,300 lagi ditangkap.- ANADOLU
Ulasan
Catat Ulasan