PAS siap sedia tadbir Pahang PRU16 – Tuan Ibrahim


PAS siap sedia tadbir Pahang PRU16 – Tuan Ibrahim
September 8, 2024

JERANTUT: PAS menyatakan bahawa parti itu telah bersiap sedia untuk menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang pada PRU16 nanti, demikian menurut 

ADUN Cheka tersebut memberitahu, kerana itulah PAS Pusat membuat keputusan untuk mengadakan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di negeri ini sebagai menghantar isyarat kepada kesediaan tersebut.

Beliau mengimbas lonjakan sokongan diperolehi Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 dan PRN15 di enam negeri di mana PAS menjadi parti yang mempunyai kerusi paling besar dalam Dewan Rakyat iaitu 43 kerusi.

Sedangkan katanya, pilihan raya dahulu kerusi-kerusi didominasi Umno, namun akhirnya bukan sahaja orang Melayu, tetapi kaum bukan-Melayu termasuk Orang Asli juga membuat perubahan undi mereka.

“Kita lihat cabaran ke depan ini dari semua rakyat. Orang muda, orang tua, wanita, laki-laki semua. Rakyat perlukan sebuah negara yang aman damai. Negara yang harmoni, pemimpin yang tidak rasuah, pemimpin yang tidak korup.

“Pemimpin yang bertanggungjawab dengan rakyat, tidak sombong, tidak ada 47 kes. Pemimpin yang tak ada kes, yang buang kes, yang tolak kes. Pemimpin yang tidak bersifat rasis. Ini semua rakyat Malaysia nakkan pemimpin macam itu.

“Sebab itu PAS mendapat sokongan daripada orang Melayu dan bukan-Melayu baru-baru ini,” ujarnya berucap merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) di Hotel Darul Makmur, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut memperincikan jumlah peningkatan atau gandaan undi yang diterima calon PN atau PAS di berapa kerusi ditandingi sebagai menunjukkan sokongan diterima daripada rakyat.

Katanya, perubahan tersebut juga bukan sahaja dapat dilihat dalam kalangan pengundi kaum Melayu, tetapi masyarakat bukan-Islam juga ramai datang berjumpa pimpinan PAS, selain tokoh-tokoh penting turut menyertai PAS.

Tuan Ibrahim menyebut beberapa nama antaranya Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim dan Tan Sri Annuar Musa yang ketika bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) memegang jawatan-jawatan penting bersama parti tersebut.

Tambah beliau, gelombang perubahan tersebut juga tidak terhad di Pantai Timur, tetapi telah melanda banyak negeri Pantai Barat dan seluruh negara sebenarnya hingga PN turut menang di Melaka dan Negeri Sembilan.

“Dalam konteks Pahang mungkin sentimennya lebih sikit. Tahun 199 kali pertama saya turun bertanding di DUN Jengka, ada sepuluh peti undi, sembilan peti undi FELDA. Tak hilang deposit cerah masa depan. Nak menang tak mungkin.

“Tapi gelombang tahun 1999 menyaksikan PAS di Pahang menang enam kerusi. Daripada kosong kita menang enam kerusi. Itu satu jumlah yang besar. Yang paling menariknya ialah daripada enam ini semua segmen DUN paling hulu, sempadan akhir.

“Kita menang DUN Tahan, sekarang pun kita masih menang DUN Tahan. Kawasan FELDA, kita menang. Kawasan nelayan Kuala Pahang kita menang. Kawasan bandar Temerloh, Semantan, kita menang. Kawasan pinggir bandar Kuantan, kita menang pada waktu itu.

“Tapi gelombang itu naik kemudian turun kerana tekanan-tekanan yang dikuatkuasakan. Pilihan raya baru ni bertanding DUN Pulau Tawar, ada 14 FELDA, paling banyak di dunia. Tak pernah kita fikir gelombang ini akan bersama kita. Alhamdulillah DUN Pulau Tawar kita menang.

“Maknanya gelombang ini meliputi semua tempat, semua segmen dan semua kaum. Ustaz Zurian (Daud), DUN Damak sebahagian besar pengundi bukan-Melayu, Bandar Jerantut. (Tetapi) Beliau dah menang dua penggal berturut-turut,” ujarnya.

Kata beliau sokongan bukan-Melayu diperolehi kerana mereka melihat pemimpin PAS berjuang demi rakyat dan ikhlas membela nasib mereka tanpa mengira kaum hingga ramai datang untuk memberi sokongan kepada PN. – HARAKAHDAILY 8/9/2024

Ulasan