PAS yakin dapat undi bukan-Muslim, terajui Putrajaya



PAS yakin dapat undi bukan-Muslim, terajui Putrajaya
September 8, 2024


JERANTUT: PAS tegas menolak sebarang elemen ekstremis dan pelampau di mana golongan tersebut tidak dibenarkan berada dalam parti ini, demikian kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Mereka boleh keluar daripada PAS kalau mereka nak dukung perjuangan PAS. PAS menolak sebarang ekstremis golongan pelampau sama ada daripada individu badan-badan atau organisasi.

“Sebagai sebuah parti politik yang berada dalam negara kita (PAS) menyertai hampir semua pilihan raya dan memenangi pilihan raya negeri hingga setakat ni kita menang empat negeri pencapaian terbaik yang dicapai PAS bersama dengan Perikatan Nasional.

“Dalam PRU15 baru-baru ini mencatatkan PAS berjaya menawan empat negeri, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Dan mendapat lonjakkan besar di Perak dan daripada enam kerusi kepada tujuh belas kerusi di Pahang.

“Dan kita juga mencapai cemerlang di Selangor. Tentulah kejayaan besar PAS meraih kemenangan 43 kerusi parlimen ada sumbangan saham besar DHPP dalam kemenangan kami semua,” ujarnya menegaskan PAS telah menyertai demokrasi seawal Pilihan Raya Pertama.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kali Ke-9 sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 yang diadakan di Hotel Darul Makmur, di sini hari ini.

Pun demikian katanya, Allah SWT memperingatkan supaya jangan kebencian kepada sesuatu kaum menyebabkan perlakuan tidak adil serta menegaskan bahawa adil itu mendekati kepada takwa.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini turut menegaskan bahawa bangsa bukanlah pilihan atau kehendak seseorang tapi ianya daripada Allah SWT yang menjadikan manusia berbilang bangsa dan perasaan sayang kepada bangsa sendiri adalah lumrah.

“Sejak kita merdeka wujudnya parti-parti politik yang berasaskan kaum. Umno-Melayu, MIC-India, MCA-Cina. Parti-parti yang diasaskan oleh kaum sebenarnya dia tidak menyumbang pada perpaduan nasional. Bahkan dia mewujudkan kerenggangan di antara kaum. dengan kaum.

“Bayangkan kalau Umno kata ‘Hidup Melayu!’ MIC kata ‘Hidup India!’ MCA kata ‘Hidup Cina!’. Sebab itu kalau kita lihat dalam Islam pemimpin bukan semesti orang Arab,” ujarnya.

Tuan Ibrahim menyebut beberapa Sahabat RA di keliling Rasulullah SAW yang bukan daripada bangsa Arab antaranya Shuaib ar-Rumi, Bilal bin Rabah al-Habsyi dan Salman al-Farisi di mana menunjukkan bangsa bukan satu kelebihan.

Kerana itu terangnya, Islam tidak pernah menjajah mana-mana bahagian dunia, sebaliknya apabila Islam datang ke Tanah Melayu, bangsa Melayu kekal menjadi raja, begitu juga di Sepanyol, Islam datang bukan orang Arab yang memerintah.

Jelas beliau, Islam datang secara membuka yakni membuka pandangan dan fikiran serta sama sekali tidak wujud paksaan kerana paksaan hanya menyebabkan pura-pura atau sifat munafik.

“Sebab itu kita tengok kita perlukan sebuah negara pemimpin yang jujur, adil, amanah, baik dengan semua rakyat dan semua sifat itu ada dalam PAS insya-Allah. Kita perlu pemimpin macam ni.

“Contoh di Kelantan PAS menang majoriti, seratus-peratus daripada PAS. Tak ada ahli Dewan Negeri daripada orang Siam. Tak ada. Tapi kerajaan negeri lantik orang Siam duk dalam kerajaan untuk beri pandangan kepada pihak kerajaan, keperluan masyarakat Siam di Kelantan.

“Sama juga di Kedah. Sama juga di Terengganu. Masyarakat India tak ada sebagai ADUN. Tapi dilantik pegawai daripada kaum India berada di bawah Pejabat Menteri Besar. Kenapa?

“Sebab kena ada wakil yang menyatakan keperluan kaum mereka kepada pemimpin dalam negara,” jelasnya di hadapan 300 perwakilan terdiri daripada kaum India, Cina dan Siam itu.

Menurut beliau lagi, DHPP memainkan peranan penting meyakinkan masyarakat bukan-Islam antaranya dapat dilakukan dengan membawa mereka melihat sendiri keadaan pentadbiran misalnya kehidupan rakyat bukan-Islam di Kelantan.

Sedangkan bidasnya, tindakan menakut-nakutkan rakyat sepertimana dimainkan oleh pihak musuh dan media mereka bukanlah perkara sebenarnya, tetapi fobia kepada Islam sengaja diwujudkan sepertimana manusia ditakutkan kepada hantu.

“Maknanya kita yakin sebenarnya ketakutan itu sengaja dimomok-momokkan supaya masyarakat bukan-Muslim tidak beri undi kepada calon PAS. Sedangkan realitinya mereka pergilah ke Kelantan. Pergi tengok di Terengganu.

“Sekarang boleh pergi ke Kedah, boleh pergi ke Perlis. Insya-Allah model kepimpinan yang adil untuk semua yang beri perhatian melantik kepimpinan yang betul-betul punya integriti yang tinggi wibawa yang hebat.

“Yang mampu mengambil alih, insya-Allah menerajui Kerajaan Persekutuan dalam PRU16 nanti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/9/2024

Ulasan