‘Pelik, kerajaan tetapkan 7 syarat dalam MoU perlu dipenuhi pembangkang’



‘Pelik, kerajaan tetapkan 7 syarat dalam MoU perlu dipenuhi pembangkang’
September 2, 2024

Takiyuddin (kanan) bersama-sama Tuan Guru Abdul Hadi dan Mahathir dalam sidang media sempena Sidang Kemuncak Kesatuan Kerajaan Empat Negeri (SG4) di Bangi, Selangor pada hari ini, 2 Sept 2024. (HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

BANGI: Sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15 dan perkara berkaitan bangsa, agama dan raja (3R) merupakan antara tujuh syarat digariskan Kerajaan Perpaduan dalam draf memorandum persefahaman (MoU) kepada ahli parlimen pembangkang untuk mendapatkan peruntukan.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau berasa pelik dengan MoU berkenaan kerana peruntukan adalah diwajibkan untuk semua ahli parlimen termasuk pembangkang.

“Sebagai ahli parlimen pembangkang, kami juga ahli parlimen. Zaman dulu pun kita bagi peruntukan kepada ahli parlimen (pembangkang).

“Tapi dia sebut dalam ni tujuh prinsip kehidupan awam, tuturan kebencian, hasutan kebencian mengenai isu bangsa, agama dan raja-raja.

“Jadi isu 3R pun masuk dalam memorandum nak bagi peruntukan,” katanya dalam sidang media Sidang Kemuncak Kesatuan Empat Negeri (SG) yang diadakan di sini, hari ini.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Panel Penasihat SG4, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Takiyuddin dalam pada itu turut meluahkan rasa pelik apabila pengisytiharan antara antara yang turut ditetapkan dalam MoU berkenaan.

“Kita pun tak faham kenapa dia nak minta ahli parlimen yang bukan anggota pentadbiran isytihar harta.

“Zaman pentadbiran Perdana Menteri dulu, pengisytiharan harta hanya dikalangan anggota pentadbiran seperti Menteri, Timbalan Menteri dan sebagainya,” tambahnya.

Oleh itu, pihaknya masih di peringkat perbincangan sama ada mahu menerima syarat yang ditetapkan dalam MoU berkenaan ataupun tidak. – HARAKAHDAILY 2/9/2024

Ulasan