Pemimpin PH-Umno gelisah kemunculan SG4 Group
September 6, 2024
Mohamad Kamal Mohamed
KOTA BHARU: Pakatan rapuh PH-Umno dianggap gelisah dengan kemunculan SG4 Group Sdn Bhd yang ditubuhkan empat kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN).
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, mereka sebenarnya cemburu di atas kesepakatan ditunjukkan SG4 memandangkan pakatan PH-Umno hanya menanti belah.
Katanya, kekuatan S4G Group Sdn Bhd diasaskan atas kerjasama empat negeri yang berobjektifkan urus tadbir yang cekap, kewangan kukuh, sosioekonomi mampan.
Apa yang penting kata beliau kesepakatan itu menyentuh ikatan kerjasama yang lebih serius negeri-negeri di bawah PN.
“Ia menjurus kepada pembangunan lestari yang berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
“Ia diluncurkan secara rasmi dan disiarkan secara langsung secara atas talian dengan jemputan keempat-empat Menteri Besar, pakar ekonomi, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Majlis itu tidak disembunyikan untuk pengetahuan umum, langsung tidak berbangkit sebagaimana yang cuba dipertikai pihak tertentu,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Kamal, SG4 ditubuh dengan suatu kesepakatan objektif mengamalkan integriti yang tinggi dan kecekapan terbaik dalam pentadbiran menggerakkan ekonomi secara adil dan saksama.
Menurutnya, ia digembleng kerjasama dengan pelbagai pemegang taruh nasional dan antarabangsa, memartabatkan sistem perundangan syariah dan mengarusperdanakan Islam sebagai cara dan matlamat hidup.
“Cukup sifatnya dan ampuh dasarnya, serta paling penting kesepakatan bagaikan aur dan tebing. Jadi, apa lagi yang perlu dipersoalkan?” soalnya.
Penubuhan SG4 Sdn Bhd baru-baru ini mendapat reaksi negatif pihak tertentu termasuk pemimpin PH dan Umno. – HARAKAHDAILY 6/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan