Penjawat awam, jangan sakit lain, beri ubat lain



Penjawat awam, jangan sakit lain, beri ubat lain
Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah
Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
22 September 2024, 6:07 am


MUKADIMAH

TERLALU banyak kritikan dan kecaman terhadap perkhidmatan awam yang menjadi nadi kerajaan dengan pelbagai perkara sejak dulu hingga kini.

Hakikatnya, sektor ini menjadi perhatian dalam apa jua pelaksanaan dan tindakan lebih-lebih lagi perkara yang menyentuh soal moral, standard penyampaian perkhidmatan atau dasar-dasar berkaitan termasuk soal kenaikan gaji atau pertukaran.

Apatah lagi dengan peredaran masa kini yang menuntut perkhidmatan awam untuk bekerja keras dalam banyak perkara.

Justeru wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan JUANI MUNIR ABU BAKAR menemu ramah bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) DATUK SERI MOHD. SHAFIQ ABDULLAH bagi mendapatkan perspektifnya. Turut membantu jurufoto, AFIQ RAZALI

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Datuk Seri melihat peranan dan tanggungjawab penjawat awam di negara kita setakat ini?


MOHD. SHAFIQ: Perkhidmatan awam secara realitinya menjadi nadi kepada pembangunan negara dan tonggak kerajaan. Mereka yang bergelar penjawat awam perlu ingat bahawa mereka juga pengantara yang menghubungkan aspirasi anggota pentadbiran dengan keperluan masyarakat.


Setiap penjawat awam sepatutnya memahami isu yang dihadapi rakyat dan menyalurkan maklumat dengan tepat supaya ada polisi dan dasar yang boleh dibangunkan. Ini kerana masyarakat sentiasa menunggu perkhidmatan yang berkesan daripada segi ketangkasan, kualiti dan kos yang efisien.

Adakah kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan baru-baru ini mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan sektor berkenaan?

Pada pandangan saya, jumlah kenaikan gaji 15 peratus sebagaimana yang diumumkan bagus untuk meningkatkan motivasi penjawat awam. Bagaimanapun, mungkin ada satu lagi mekanisme yang boleh difikirkan nanti iaitu pemberian bonus kepada penjawat awam berbanding kenaikan gaji.

Ini bermakna kalau prestasi ekonomi negara meningkat berdasarkan ukuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai contoh tiga peratus. Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian bonus enam bulan untuk mereka bergaji RM5,000 ke bawah manakala yang gaji RM5,000 sehingga RM10,000 untuk tiga bulan dan begitu juga peringkat lain untuk meningkatkan produktif dan motivasi mereka.

Ini lebih baik sebab kerajaan tidak terikat untuk terus membayar kenaikan gaji penjawat awam sekiranya prestasi ekonomi menurun pada masa akan datang.

Dengan pelaksanaan ini juga, ia dapat mengurangkan birokrasi. Sekarang kita naik gaji sahaja tetapi kita tidak nampak bagaimana mahu mengurangkan birokrasi ini. Dan semua tahu birokrasi ini berkaitan proses kerja, cara kerja dan mengoptimumkan kerja itu sama ada menjadi cepat atau lambat.

Jadi, kos kualiti dan kuantiti yang menunjukkan kepada kecekapan perkhidmatan awam. Ini boleh kita katakan juga sebagai penanda aras kepada pertambahan prestasi pekerja awam, sekali gus dapat meningkatkan kepuasan untuk yang menerima perkhidmatan berkenaan iaitu rakyat.

Pada saya, ini antara yang kita perlu lihat. Lagipun, kita sudah bergerak ke arah digital. Kalau dulu kita ada jawatankuasa semakan dan semua pekeliling lama yang tidak berkaitan dibatalkan (untuk mempertingkatkan kualiti kerja dan perkhidmatan awam).

Adakah penggiliran dan pertukaran jawatan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian sesuatu yang wajar?

Daripada segi penggiliran jawatan KSU dan pegawai kanan di setiap kementerian bagus untuk memberi satu pengalaman kepada mereka dalam membuat keputusan serta melaksanakan sesuatu dasar dengan lebih baik.

Kalau tanpa pengalaman, mereka (KSU dan pegawai kanan) hanya pandai bercakap sahaja sehingga sesuatu perkara yang dibincangkan itu menjadi retorik.

Pegawai-pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) perlu ditempatkan di kementerian -kementerian lain untuk menimba pengalaman supaya apabila mereka membuat satu-satu pekeliling itu, mereka lebih faham.



Kalau mereka lama sangat di satu-satu jabatan, mereka tiada pengalaman dan tiba-tiba perlu melibatkan diri dalam membuat dasar untuk kementerian lain.

Selepas itu, terpinga-pinga bagaimana mahu melaksanakannya. Kalau tidak ditukar seseorang pegawai itu, mungkin ia disebabkan vendor driven (didorong vendor) atau tidak menepati kehendak kementerian itu sendiri.

Justeru, saya nampak kementerian besar seperti Kementerian Kerja Raya (KKR); Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau kementerian lain perlu ada kepakaran yang merangkupi secara holistik. Ia seperti bermain catur. Satu bergerak, semua akan berubah.

Inilah cara kita berfikir yang perlu ada dan pegawai kerajaan harus menajamkan proses membuat keputusan ini dengan mengambil kira pendekatan secara bersepadu dengan berlandaskan kesepaduan, sosial, ekonomi dan integriti.

PENJAWAT AWAM DAN PERUBAHAN ZAMAN
Pada pandangan Datuk Seri, bagaimana kerajaan boleh memastikan perkhidmatan awam sentiasa relevan dan berkesan dalam menghadapi perubahan zaman?

Walau apa pun, kita perlu sentiasa melakukan perubahan. Lagipun, pegawai kerajaan ada pelbagai gred jawatan daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) sampai ke peringkat jawatan kerani. Apa yang penting, pegawai kerajaan perlu melaksanakan tindakan bersandarkan keperluan atau pekeliling.

Kita bukannya berada pada zaman dahulu mahu menggunakan benda sama. Pegawai kerajaan perlu membuka minda dalam membuat keputusan bersandarkan garis panduan seperti kesihatan, perjawatan, ekonom dan sebagainya. ini semua kena lihat sama ada sesuai pada masa sekarang atau tidak.

Selain itu, pegawai kerajaan perlu banyak membaca dan tambahkan ilmu. Lihat juga kejayaan orang lain. Negara China sebagai contoh. Dulu siapa yang kenal China pada tahun 90-an? Walhal jumlah penduduknya ramai.

Tetapi selepas itu China mula menjadi tumpuan. Mengapa? Ini kerana perkara asas adalah inovasi yang mana mereka melihat semula pekeliling lama perkhidmatan negara berkenaan selain melihat kepada proses kerja. Mereka memperkasa organisasai untuk melihat inovasi dan kedua mereka melihat automasi.

Jadi, dua perkara iaitu inovasi dan automasi. Kalau kita buat kedua-duanya kita juga akan dapat konsistensi. Negara China apabila membuat keputusan bukan sekadar mahu mewujudkan peluang pekerjaan tetapi mahu menyelesaikan satu-satu masalah.

Justeru kita perlu perbetulkan sesuatu perkara. Apabila kita perbetulkan semua urusan ini, banyak yang terima manfaatnya. Sebagai contoh golongan peniaga tidak perlu buang masa untuk berdepan masalah birokrasi.

DENGAR PANDANGAN, JANGAN BERI ARAHAN SAHAJA
Bagaimana Datuk Seri menilai keberkesanan dasar-dasar semasa dalam perkhidmatan awam?

Perkhidmatan awam kita baik dan waktu dulu kita antara 14 terbaik di dunia. Akan tetapi kita perlu perbaiki lagi dan ada ruang untuk diperbaiki dari semasa ke semasa. Sebagai contoh perkhidmatan jalan raya atau hal-hal berkaitan sosial.



Sebenarnya, perkhidmatan ini boleh diukur dengan kepuasan dan penyelesaian masalah. Contoh, hari ini adakah kita berasa risau kalau keluar?

Jawapan, tidak sebab ada polis. Begitu juga dengan pendidikan. Maknanya, daripada segi penyampaian perkhidmatan awam, saya boleh katakan kita antara terbaik. Malah kita boleh jadi lebih baik lagi.

Kita mahu dan perlu melaksanakan satu langkah transformasi semua termasuk pembangunan sumber manusia, perdagangan dan sebagainya supaya kita tidak tertinggal di belakang.
Perkhidmatan awam perlu ada kebersamaan dengan rakyat. Ia bukan hak dan tanggungjawab penjawat semata-mata.

Kita semua adalah sebahagian rangkaian kepada perkhidmatan yang diberikan. Masing-masing boleh sampaikan pandangan. Pegawai kerajaan perlu menerima pandangan dan bukan membuat keputusan bagi satu pihak sahaja.

Di samping itu, dasar awam juga perlu pergi kepada pencegahan dan memberi maklumat. Kita perlu wujudkan satu sistem pembelajaran dan kesedaran untuk mempertingkatkan jati diri dan demi kepentingan bersama, bukan untuk kerajaan semata-mata.

ETIKA DAN INTEGRITI
Bagaimana jabatan-jabatan kerajaan perlu memastikan standard etika dan integriti dipatuhi dalam perkhidmatan awam?

Sebenarnya ia berkaitan kepimpinan. Kalau ada ketua yang mengambil pendekatan sikap acuh tidak acuh, memang susah untuk mencapai standard berkenaan.

Dulu ada satu ‘mat saleh’ menulis artikel bertajuk ‘Malaya the land of nevermind’. Penulis itu mahu menunjukkan sikap tidak mengapa yang orang Melayu amalkan. Contoh, terdekat isu sampah. Kita ada mentaliti bahawa itu bukan tugas kita sebaliknya tugas kerajaan atau sesiapa yang dipertanggungjawabkan.

Sepatutnya, kita perlu ada dan ikut pendekatan dalam Islam iaitu Habluminallah Habluminannas (menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia). Harus ada sikap untuk memudahkan cara berurusan dan penyelesaian masalah kepada mereka yang ada masalah.

Cuba kita lihat lapangan terbang di China. Ada papan tanda tentang cara berdiri dan tatacara kerja khas untuk penjawat awam di sana. Sangat terperinci. Mungkin nampak keterlaluan tetapi ini hakikatnya dengan mendefinisikan secara terperinci apa tindakan yang kita perlu lakukan apabila berdepan dengan orang ramai. Kalau muka masam orang benci penjawat awam terutama bagi mereka di barisan hadapan. Ini dipanggil sebagai the street bureaucracy (birokrasi jalanan).

Walau apa pun, integriti ini definisinya adalah kita buat satu perkara betul walaupun orang tidak nampak. Lagipun kerja itu juga satu ibadah. Kalau ada sikap begini kita lebih bertimbang rasa.

JANGAN SELESAIKAN SIMPTOM SAHAJA
Pandangan Datuk Seri mengenai keperluan reformasi dalam perkhidmatan awam Malaysia pada masa kini?

Kalau anda baca satu ini, ia ada satu tulisan berkenaan akauntabiliti. Petikan kata buku itu sangat mudah. Perkataan tersebut cukup mudah untuk membuat orang rasa suka dan nyaman.
Jadi, kita lihat perkataan ini dalam sistem berbeza. Dalam hal berkenaan dasar awam, ia perlu menepati kehendak rakyat dan keperluan penyelesaian masyarakat.

Banyak dasar kita menyelesaikan masalah simptom sahaja. Analoginya begini. Kalau kita sakit tertentu seperti demam kita perlu ambil ubat berkaitan penyakit itu. Dalam hal ini, kita ambil ubat untuk sakit yang lain pula. Maka banyak masa kita terbuang dengan tidak mengubati punca.

Pada saya penjawat awam perlu adanya perubahan minda untuk terus kekal relevan. Sebagai contoh, pemikiran kolaboratif yang menekankan kepentingan menerusi kerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab, penjanaan idea dan tidak mengamalkan budaya kerja secara silo.

Harapan Datuk Seri terhadap sektor perkhidmatan awam pada masa akan datang?

Penjawat awam perlu ingat tanggungjawab hendaklah ditanam dalam hati dan jiwa kerana setiap tindakan kita menggambarkan identiti kita sebagai penjawat awam.

Di samping itu, integriti, dan budaya kerja secara profesionalisme perlu menjadi pegangan. Kita mesti percaya segala sumbangan dan usaha yang dilakukan pasti akan memberi manfaat kepada organisasi, masyarakat dan negara.

RASUAH

Adakah pendekatan untuk menangani isu-isu berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa memadai dengan penguatkuasaan?

Kalau kita buat undang-undang banyaklah penguat kuasa. Sebab itu, saya kata kita perlu deregulation (penyahkawal seliaan). Dulu orang tanya saya tentang untuk kawal selia jabatan atau agensi. Kita ada new market mechanism (mekanisme baharu).



Macam kedai mamak sebagai contohnya. Kenapa perlu letak sampai 10 agensi untuk menjaga serta mengawal selianya dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPD); KKM ;pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya?

Selepas itu jadi bercanggah pula itu tugas siapa. Sebab itu, saya boleh katakan kita perlu ada inovasi dan automasi, bukan dengan hanya mewujudkan jawatan sahaja. Negara China berani. Dia menyatakan fungsi dengan tepat dengan merencanakan bilangan penjawat awam yang betul-betul mampu bekerja.

Dan kita tahu semua negara tidak mampu menguatkuasakan undang-undang mereka. Adakah cukup sekadar dengan ada akta sahaja?

Sekiranya ada akta sudah semestinya ada perjawatan iaitu penguat kuasa. Sekarang ini sudah tiba masanya perlu kurangkan penguatkuasaan dan lebihkan kesedaran. Politic regulation ini kita bukannya boleh menguatkuasakan semuanya. Ia memerlukan duit dan perjawatan yang banyak.

Jadi, untuk mengurangkan regulation (kawal selia) perlukan banyak kesedaran untuk buat benda betul. Saya rasa penguatkuasaan penting tapi jangan terlebih kawal selia. Apabila ada penguat kuasa, sekiranya tiada tindakan, ia sama ada berlaku ‘bawah meja’, ‘atas meja’ atau dengan ‘meja sekali’ iaitu rasuah.

Lebih banyak akta berkemungkinan akan wujud perkara itu (rasuah). Untuk mendefinisikan rasuah ini bukan kebendaan semata-mata tetapi turut melibatkan rasuah minda atau mempengaruhinya sama ada non material atau material (kebendaan). TIada sesiapa pun mengatasi undang-undang. Tatakelola bukan untuk penjawat awam saja tetapi meliputi semua.

Adakah wajar penjawat awam mempertahankan dasar kerajaan daripada pelbagai dakwaan?
Semestinya kerana ia adalah satu tanggungjawab mereka mendukung dasar kerajaan. Kalau ada yang menentang dan tidak menyokong dasar kerajaan, seseorang penjawat awam telah melanggar Akujanji

Tambahan pula, ia adalah norma penjawat awam yang perlu berpegang teguh pada kesaksamaan, mengambil sikap berkecuali dan tidak berpolitik. – MINGGUAN MALAYSIA

Ulasan