Peranan besar DHPP memenangkan PAS di PRU16
September 9, 2024
JERANTUT: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) mempunyai peranan yang besar terutama di bahagian Pantai Barat dan Selatan tanah air bagi memenangkan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-16.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia berikutan demografi politik tempat PAS bertanding di situ bukan semuanya majoriti orang Islam.
“Ada beberapa kawasan yang pengundi bukan-Melayu itu agak besar juga, (sekitar) 30 peratus (sehingga) 40 peratus. Jadi kita lihat peranan DHPP ni agak besar. Sekitar di tempat-tempat tertentulah.
“Hampir semua Pilihan Raya Kecil (PRK) ni sebenarnya DHPP memang kita tugaskan dia untuk bertemu dengan pengundi bukan Melayu. Khusus untuk menjelaskan apa apa yang sebenar yang diperjuang oleh PAS melalui rakan kita DHPP.
“Dan mereka turun dalam setiap PRK termasuk di Sungai Bakap, Pelangai sebelum ni pun di Nenggiri itu pun mereka turun,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Beliau yang juga ADUN Cheka berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen DHPP di Hotel Darul Makmur, di sini semalam.
Menurut beliau, DHPP diperuntukkan kerusi setiap kali pilihan raya untuk bertanding, tetapi masih belum memenangi sebarang kerusi.
Beliau berkata, kerusi tersebut diperuntukkan di semua negeri kecuali Perlis untuk DHPP bertanding.
“Bermakna Semenanjung ni semua negeri dah ada kecuali Perlis. Sabah Sarawak dah ada. Dah lama dah,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 9/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan