PN tidak akan tutup Genting Highlands

PN tidak akan tutup Genting Highlands
September 18, 2024

Rosli Abdul Jabar

KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) tidak bercadang untuk menutup Genting Highlands, sebaliknya hanya ingin menghentikan aktiviti perjudian yang mendatangkan mudarat kepada masyarakat.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Rosli Abdul Jabar berkata demikian susulan persoalan yang diajukan oleh wartawan semasa sidang akhbar baru-baru ini, yang mana beliau diminta mengulas mengenai fokus PN sekiranya diberikan mandat untuk memerintah Pahang.

“Kami jelaskan bahawa fokus kami ialah untuk membela kebajikan rakyat keseluruhan tanpa mengira agama dan bangsa, kami juga akan fokus perkara- perkara yang mendatangkan mudarat kepada rakyat termasuklah menutup atau tidak mengeluarkan lesen untuk permis perjudian sebagaimana di negeri yang dikuasai PN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, ketika ditanya apakah PN akan menutup Genting Highlands sekiranya berkuasa, beliau menegaskan bahawa tiada keperluan untuk laksana perkara tersebut.

“Kami katakan bahawa tiada keperluan untuk Genting ditutup, biarlah Genting kekal sebagai pusat pelancongan, apa yang kami perlu buat ialah melihat sejauh mana kebolehan untuk tidak membenarkan aktiviti judi di Genting Highlands itu melalui peraturan dan undang-undang yang ada,” katanya.

Kata Rosli, aktiviti perjudian memberikan kesan negatif yang besar, termasuk pengabaian rumah tangga, perceraian, keganasan rumah tangga, serta jenayah lain seperti pencurian dan pinjaman tanpa lesen yang sering dikaitkan dengan ketagihan judi.

“Judi juga amalan yang membunuh kehormatan negara, negeri, bangsa dan kaum.

“Kami tegaskan bahawa kami bukan nak tutup Genting sebagaimana Pengerusi DAP Pahang katakan, kami hanya nak hentikan aktiviti perjudian sahaja, biarlah Genting terus menjadi destinasi pelancongan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar pihak Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang, menyiasat sama ada umat Islam terlibat secara langsung dalam aktiviti perjudian di Genting.

“Jika mereka bekerja di Genting tetapi tidak terlibat dengan aktiviti perjudian apa masalahnya, biarlah ia terus bekerja kerana Genting Highlands tetap kekal sebagai dentinasi pelancongan.

Beliau turut menyelar kenyataan Pengerusi DAP Pahang yang disifatkannya sebagai penghinaan dan mengkambing hitamkan umat Islam demi membela pusat perjudian.

“Sebagai wakil rakyat saya sangat menentang aktiviti judi ini kerana saya mendapat begitu banyak aduan yang diterima dari masyarakat yang menjadi mangsa atau mendapat kesan buruk dari aktiviti judi.

“Sebagai umat Islam kami yakin negara, negeri dan ekonomi kami lebih berkat tanpa judi, umat Islam perlu sedar bahawa nak tutup pusat judi kena lingkupkan DAP,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

Ulasan