PRK Mahkota: ‘Siapa cakap PAS tak bantu?’

PRK Mahkota: ‘Siapa cakap PAS tak bantu?’
September 18, 2024


Coach Haizan dalam sidang media selepas lawatan ke Gelanggang Futsal Taman Sri Kluang, Kluang, Johor pada hari ini, 18 September 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Marco)

KLUANG: Dakwaan yang tersebar kononnya jentera PERIKATAN NASIONAL(PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN Mahkota diboikot oleh PAS Kluang adalah satu cerita bohong.

Calon PN PRK Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar, atau lebih dikenali sebagai Coach Haizan berkata, semua parti komponen PN turun membantu untuk memastikan kemenangan parti itu.

“Mereka (PAS) ada bantu… ada ikut saya sepanjang kempen. Semua mereka datang bantu. Siapa cakap PAS tidak ada bantu?

“PAS DUN Mahkota, PAS Kawasan Kluang, PAS Negeri Johor sehingga PAS Pusat ada datang bantu.

“Baru tadi, saya bertemu dengan jentera bantuan PAS Terengganu,” katanya.

Menurutnya, PAS bersama dengan Gerakan dan Bersatu adalah parti komponen PN, sudah tentu semuanya akan membantu satu sama lain dalam berhadapan dengan apa-apa peringkat pilihan raya sekali pun.

“PAS ada, Gerakan ada, semua memang ada datang bantu kami. Kalau siapa cakap tak bantu tu bohong! Jangan buat cerita bohong!” tegasnya lagi.

Ketika diasak wartawan untuk membuktikan dan menunjukkan mana-mana petugas PAS yang turut serta dalam sidang media itu, beliau telah menunjukkan lebih lima orang daripada mereka yang turut sama termasuk Setiausaha PAS Negeri Melaka, Asri Shaik Abdul Aziz yang turut berada di situ.

“Inii orang PAS, yang ini pun orang PAS, belakang tu orang PAS. Semua ni orang PAS yang bantu saya.

“Siapa cakap tiada jentera PAS? Saya pun pelik (dengan dakwaan itu),” katanya kepada media yang hadir.

Beliau berkata demikian dalam sidang media usai lawatan beliau ke Gelanggang Futsal Taman Sri Kluang, yang berada dalam keadaan uzur dengan banyak peralatan dan infrastruktur yang rosak, di sini, petang tadi.

Dalam lawatan itu juga, beliau menggesa pihak kerajaan agar membaik pulih gelanggang futsal tersebut agar tidak menimbulkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

“Saya harap pihak yang bertanggungjawab agar dapat memberi perhatian supaya kerosakan-kerosakan ini dapat dibaiki.

“Gelanggang futsal ini di bawah pengurusan persatuan penduduk, tetapi pihak kerajaan kena beri bantuan,” katanya.

PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Di gelanggang PRK Mahkota ini, Coach Haizan berdepan satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah, 40, yang merupakan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula Sabtu sehingga jam 12 tengah malam Jumaat 27 September 2024.

Tarikh 28 September pula ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka membabitkan 109 saluran dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu sebanyak 1,126 orang.

Sementara itu, pengundian awal pula akan berlangsung pada 24 September ini melibatkan tiga pusat mengundi dengan 11 saluran.

Sebanyak 66,318 pengundi berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu di mana 61,397 daripada mereka adalah pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.

Secara demografi daripada keseluruhan 66,318 pengundi di situ, sebanyak 54 peratus daripadanya adalah Melayu manakala baki 46 peratus adalah bukan Melayu. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

Ulasan