PRK Mahkota: Wanita UMNO kecewa, semangat tercalar
PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat tangan Syed Hussien Syed Abdullah (tengah) yang mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semasa majlis pengumuman calon di Kluang, Johor, Sabtu lalu. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Oleh FARAHWAHIDA AHMAD
10 September 2024, 7:11 am
SEGAMAT: Pergerakan Wanita UMNO kecewa apabila wakil sayap itu tidak dicalonkan mewakili Barisan Nasional (BN) bagi mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi ini, 28 September ini.
Bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim mengakui terkilan apabila pencalonan daripada Wanita UMNO ditolak, sekali gus tidak mengekalkan kuota sayap tersebut.
“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itu yang saya boleh katakan. Keputusan ini (tidak memilih Wanita UMNO) dirasakan tidak menghormati Wanita dalam meneruskan legasi Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang juga bekas Exco Wanita UMNO.
“Allahyarham menunjukkan keupayaan Wanita UMNO yang mampu memenangi kerusi tersebut dengan majoriti lebih 5,000 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022. Malah, mengecilkan lagi sasaran (kuota) 30 peratus seperti yang dijanjikan pucuk pimpinan parti sebelum ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat tidak menafikan bahawa keputusan itu sedikit sebanyak mencalarkan semangat Wanita UMNO untuk terus berkhidmat.
“Ia sedikit sebanyak mengganggu tumpuan 100 peratus komitmen dalam menyusun gerak kerja demi memastikan calon BN yang dipilih memenangi PRK DUN Mahkota ini. Bagaimanapun, kita ahli parti dan sayangkan parti, kita tetap fokus untuk memenangkan parti dan ketika ini lebih menjadi keutamaan.
“Tidak mengapalah, keputusan pucuk pimpinan dan kita teruskan usaha demi UMNO dan BN. Harapan saya tetap terus tuntut supaya lebih ramai calon wanita dapat diketengahkan dalam pilihan raya negeri dan umum yang akan diadakan pada masa akan datang. Cekal dan teruskan usaha,” katanya.
Sabtu lalu, BN mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon bagi mempertahan kerusi DUN Mahkota.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September, manakala hari penamaan calon dan pengundian awal, masing-masing pada 14 dan 24 September ini. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan