SG4: Potensi dan strategi pengukuhan ekonomi wakaf




SG4: Potensi dan strategi pengukuhan ekonomi wakaf
Oleh Barjoyai Bardai
7 September 2024, 8:00 am

SG4 merujuk kepada empat negeri yang mempunyai latar belakang hampir serupa, dengan majoriti penduduk beragama Islam melebihi 80 peratus dan dikuasai oleh parti-parti bukan kerajaan pusat, iaitu Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis.

Ini memudahkan wawasan, misi dan matlamat hidup Islam untuk diterapkan di negeri-negeri ini. Namun, terdapat cabaran dalam menyatukan negeri-negeri ini kerana keistimewaan dan perbezaan masing-masing. Oleh itu, diperlukan satu ‘faktor pengikat’ yang boleh menggabung usaha-usaha bersama.

Sistem ekonomi wakaf dicadangkan sebagai tiang seri dalam struktur ekonomi Islam di SG4. Wakaf bukan sekadar menghentikan harta daripada urusniaga tetapi juga mengoptimumkan pengurusan kekayaan untuk manfaat masyarakat secara berterusan. Institusi wakaf berfungsi sebagai alternatif kepada perbankan konvensional, dengan fokus pada pengurusan pelaburan yang lestari dan beretika.

Pemahaman wakaf perlu dikembangkan dan mungkin dibetulkan. Wakaf bukan untuk menyerahkan dan menghilangkan tanggungjawab dalam pengurusan harta dan kekayaan sebaliknya ia adalah kaedah mengurus harta dan kekayaan paling optima.

Wakaf diterjemahkan sebagai memberhentikan harta tetapi terus menikmati hasil darinya untuk kebahagiaan semua umat. Pemberhentian (wakaf) ialah proses menahan harta dan kekayaan dari diurusaniagakan di dalam perniagaan atau kehidupan.

Ini dilakukan dengan menggunakan kaedah endowmen atau perwakilan pengurusan kepada waqif atau mutawali tetapi terus menerima sebahagian dari faedah pelaburan dari harta dan kekayaan yang diberhentikan.


Ini bertentangan dari sistem perbankan konvensional yang menekankan aktiviti memberi pinjam sehingga bank komersial diberikan hak untuk mewujudkan sumber kekayaan bagi diberi pinjam (melalui sistem margin deposit atau fractional banking).

Institusi wakaf inilah yang sepatutnya menjadi bank pelaburan yang akan menguruskan semua harta dan kekayaan umat Islam. Institusi koperasi boleh dijadikan wadah untuk melaksanakan sistem ekonomi baharu ini. Sistem ini boleh diperkenalkan di dalam koperasi untuk menjadikannya berupaya melaksanakan aktiviti perbankan wakaf.

Dengan kelebihan koperasi sebagai sektor ketiga yang bersifat sukarela, ia dapat memegang dan mengurus aset dan kekayaan umat Islam, menyediakan alternatif kepada sistem perbankan konvensional yang berasaskan riba. Koperasi wakaf boleh dijadikan alat untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi melalui pelaburan yang beretika dan saksama.

Semua umat Islam perlu menjadi ahli kepada satu atau lebih koperasi untuk hidup rukun sebagai sesama umat. Koperasi keluarga adalah bentuk paling mudah dan ekslusif kerana ia tidak perlu melibatkan ramai orang. 20 orang adik-beradik dan ahli keluarga boleh menubuhkan sebuah koperasi untuk mengurus harta dan kekayaan keluarga.

Sebuah koperasi mempunyai lesen besar sebagai sebuah bank kerana ia boleh mengutip deposit, menerima pelaburan dan mengurus pelaburan dari ahli. Sebuah bank hanya boleh ditubuh dengan modal RM2 billion tetapi koperasi boleh ditubuh dengan modal RM2,000.

Setiap orang akan mendepositkan wangnya di dalam koperasi sebagai pelaburan wakaf, di mana ia melantik dirinya sebagai muatawali untuk menentukan penerima faedah pelaburanya. Setiap koperasi akan mengatur proses pengurusan pelaburan, sama ada mempunyai pasukan pengurusan pelaburan profesionalnya sendiri atau menggunakan kepakaran pengurusan pelaburan di peringkat koperasi induk yang akan ditubuh di setiap negeri.



MODEL TABUNG ENDOWMEN

Setiap negeri memerlukan sebuah institusi wakaf untuk mentadbir harta kekayaan negeri sama seperti Baytul Mal di zaman kegemilangan Islam. Semua harta dan kekayaan milik umum di dalam negeri perlu dipindah ke dalam tabung wakaf ini yang masih diuruskan oleh koperasi induk negeri.

Institusi wakaf negeri disarankan untuk mengurus harta dan kekayaan negeri, seperti tanah rizab, saham, syarikat dan sumber asli. Harta ini dimasukkan ke dalam tabung wakaf yang diurus secara profesional untuk menjadi tabung perlindungan sosial dan rizab negeri. Model ini mirip dengan tabung endowmen seperti Tabung Minyak di Norway.

Perbelanjaan mengurus negeri boleh diambil sebahagian besarnya dari hasil pendapatan dari tabung ini. Seperti mekanisme tabung endowmen dan wakaf, harta pokoknya terhenti dan tidak boleh diusik. Hanya hasil dari pelaburan di dalam harta ini boleh digunakan.

Skim bantuan warga dan apa juga bentuk subsidi boleh juga diambil dari pendapatan dari tabung wakaf ini. Tabung wakaf ini akan terus menjadi lestari kerana harta asalnya tetap utuh dan tidak diusik. Ia akan mengembang disebabkan oleh kenaikan nilai dan juga dari lebihan pendapatan.

STRATEGI PENGURUSAN EKONOMI SG4

Dari sudut jangka pendek adalah dicadangkan supaya SG4 menumpukan kepada projek keselamatan makanan, projek koridor pelancongan dua sempadan, projek insentif pelaburan berasaskan kemahiran pekerja serta projek peningkatan produktiviti isi rumah.

Dari sudut jangka pertengahan adalah dicadangkan supaya SG4 menumpukan kepada penubuhan tabung perlindungan sosial, pembentukan koperasi keluarga, koperasi induk dan pasukan pengurusan pelaburan, projek pelaburan rumah mampu milik serta projek peningkatan kemahiran pekerja.

Dari sudut jangka panjang adalah dicadangkan supaya SG4 melaksanakan revolusi mental untuk perubahan paradigma kebahagiaan hidup hakiki serta pembudayaan wakaf sebagai cara hidup baharu.

Selain itu, SG4 diharapkan dapat mengeluarkan laporan tahunan mengenai prestasi kebahagiaan warga negeri berdasarkan data yang komprehensif, selaras dengan kajian-kajian sedia ada. Strategi ini bertujuan untuk mengoptimakan kehidupan warga negeri, meningkatkan kesejahteraan serta mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat melalui pengurusan ekonomi yang berpaksikan wakaf.

Berdasarkan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang diterbitkan Jabatan Statistik Malaysia, SG4 dilihat berada pada jalan yang betul. Lihat bagaimana warga negeri Terengganu menunjukkan tahap kebahagiaan yang jauh tinggi, Kelantan menghampiri prestasi Terengganu manakala Kedah dan Perlis berada di tengah sedangkan negeri yang maju seperti Selangor dan Melaka berada di bawah.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Dr. Barjoyai Bardai adalah Provost Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST).

Ulasan