Sifat pejuang makin semangat bila lihat ‘pakatan’ lawan
September 6, 2024
KLUANG: Orang-orang beriman itu apabila mereka berdepan dengan musuh-musuh yang kuat, mereka tidak menjadi gundah atau kesal, sebaliknya iman mereka semakin bertambah.
Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin berkata, ia berdasarkan ayat 22 surah Al Ahzab di mana ia adalah sambungan kepada ayat 21 surah sama yang sering dibaca dalam majlis-majlis ilmu.
Jelas beliau, ayat 21bermaksud, “Sesungguhnya kamu wahai Muhammad adalah ikutan yang terbaik”, hakikatnya adalah ayat yang menggambarkan perjuangan dilalui oleh semua pejuang Islam di seluruh dunia.
“Inilah ayat yang biasanya dibaca pendek saja, tidak dihuraikan panjang lebar. Bagi kita dua tiga ayat yang berikutnya (ayat 22 dan seterusnya) menggambarkan perjuangan Islam seluruh dunia, menggambarkan cabaran, ujian yang dihadapi oleh pejuang-pejuang Islam.
“Jadi para hadirin dan hadirat sekalian, kita menyambut Maulidur Rasul SAW dengan keazaman kita untuk beristiqamah, untuk kita konsisten dalam perjuangan Islam ini sehingga akhir hayat kita,” katanya.
Tambah Ustaz Abdullah, ayat 22 dalam surah itu menceritakan sikap tentera-tentera Islam yang memiliki keimanan tinggi dan semakin bertambah imannya apabila melihat musuh-musuh mereka iaitu tentera Ahzab ramai dan kuat.
Manakala ayat 23 pula menurut beliau, menceritakan pejuang-pejuang Islam yang menunaikan janji mereka untuk berjuang di mana ada antara mereka ada telah syahid, manakala sebahagiannya menunggu giliran untuk syahid.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di dalam program Ceramah Maulidurrasul anjuran Sidang Assabiqun Negeri Johor dengan kerjasama PAS Kawasan Kluang.
Program yang berlangsung di Balai Islam Haji Omar Jani (BIHOJ), Taman Ilham, di sini, malam tadi itu menampilkan Timbalan Ketua Ulamak PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail sebagai penceramah utama.
Tambah Ustaz Abdullah lagi, dengan situasi PAS Johor yang kini bakal berhadapan dengan PRK DUN Mahkota, beliau mengingatkan semua jentera PAS dan Perikatan Nasional agar tidak gentar.
Juga nasihatnya agar mereka semua tidak lemah atau berdukacita berhadapan dengan kekuatan jentera parti musuh yang disokong jentera kerajaan.
“Jadi kita dalam bahang pilihan raya. PAS Kluang bersama Perikatan Nasional Kluang sudah pun mengorak langkah bersama-sama dengan PAS negeri dan Perikatan Nasional negeri bersedia menghadapi pilihan raya ini.
“Bagaimanapun begitulah, segala kementerian, segala agensi, segala daripada kerajaan dah disusun atur, tak ada pantang larang. Kita tak boleh pula. Macam-macam yang tak bolehlah. Walau bagaimanapun kita tidak lemah semangat,” katanya.
Beliau turut membacakan surah Ali Imran ayat 139 yang bermaksud, “Janganlah kamu merasa lemah dan janganlah kamu berdukacita. Kamulah golongan yang paling tinggi sekiranya kamu beriman”.
“Paling kurang kalau kita dapat kemenangan, syukur alhamdulillah. Ataupun peningkatan undi yang besar, alhamdulillah. Memang PRK sedia maklum menghadapi kerajaan yang besar.
“Menghadapi instrumen kerajaan yang digunakan sepenuhnya sebagaimana di Nenggiri Kelantan dan di tempat-tempat yang lain,” katanya lagi.
Beliau dalam ucapannya turut menzahirkan penghargaan terhadap Sidang Assabiqun-Assabiqat Negeri Johor yang telah bekerja keras menganjurkan program Ceramah Maulidurrasul tersebut.
“Assabiqun, Assabiqat, golongan yang mempelopori perjuangan sekian lama, menjadi contoh generasi penyambung perjuangan dan kita dapat melihat peranan Assabiqun, peranan As-Sabiqat di seluruh negara.
“Dalam semua pilihan raya kecil atau pilihan raya umum yang berlangsung. Begitu sekali hebatnya peranan Assabiqun-Assabiqat,” katanya.
Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Pengerusi Sidang As-Sabiqun Negeri Johor, Ustaz Atan Gombang dan Yang Dipertua PAS Kawasan Kluang, Mohd Nor Mohamad. – HARAKAHDAILY 6/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan