Tak cukup berarak, berslogan tanda cinta kepada Nabi

Tak cukup berarak, berslogan tanda cinta kepada Nabi
September 16, 2024

Tuan Guru Abdul Hadi menyeru umat Islam di negara ini agar menjadikan sambutan Maulidur Rasul 1446H pada hari ini, 16 September 2024 dengan menguatkan iltizam bersama dalam menegakkan sunnah Baginda SAW sepanjang hayat.

KUALA LUMPUR: “Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan atau perbarisan dan berslogan mencintai Rasulullah.”

Itu pesanan daripada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H pada hari ini.

Menurut beliau, seharusnya, semua umat Nabi perlu gembirakanlah Rasulullah SAW dengan mengamalkan serta menegakkan segala suruhan Baginda SAW dan meninggalkan serta berusaha menghalang melakukan segala perkara yang dibenci oleh Baginda SAW.

“Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan Maulidur Rasul kali ini dengan menguatkan iltizam kita bersama dalam menegakkan sunnah Baginda SAW sepanjang hayat.

“Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah SAW dan beroleh cinta Allah SWT dan Rasul-Nya.

“Selamat menyambut Maulidur Rasul 1446H,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Sementara itu, di laman sosial rasmi PAS juga telah berkongsi ucapan bersempena Maulidur Rasul bagi menyambut kelahiran nabi kita.

“Mari kita bersama-sama menghayati dan meneladani keperibadian mulia Rasulullah SAW, pembawa risalah suci yang memberi cahaya kepada seluruh umat manusia.

“Semoga kecintaan kita kepada Baginda menjadi inspirasi untuk meningkatkan keimanan dan kesatuan ummah,” katanya dalam kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 16/9/2024

Ulasan