Teks ucapan MB Terengganu sempena Persidangan Kemuncak SG4
September 2, 2024
ALHAMDULILLAH, kita semua berada dalam Sidang Kemuncak Kerajaan Negeri 4 atau State Government 4 (SG4) pada hari ini, di mana hari ini adalah tepat setahun gagasan SG4 ini ditubuhkan pada 2 September 2023 yang lalu.
Kepada kita semua di sini, SG4 adalah satu platform formal untuk kerjasama antara kerajaan negeri-negeri, merentasi berbagai kluster yang berkait rapat, dengan kesejahteraan hidup di negeri kita semua.
Perlu diingat, bahawa kewujudan SG4 bukanlah bertujuan untuk bersaing dengan mana – mana negeri luar dari 4 negeri ini atau menjadi ancaman kepada sesiapa dalam negara kita di peringkat persekutuan.
Ini bermakna, SG4 adalah satu koridor kerjasama dalam pelbagai bidang, untuk mengangkat kedudukan negeri dan rakyat dalam SG4 supaya dapat bergerak dengan lebih pantas dan saling lengkap melengkapi, sama juga dengan asas kewujudan koridor – koridor atau blok yang lain sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa dengan objektif masing – masing.
Contohnya, di peringkat antarabangsa yang kita selalu dengar ialah blok kerjasama seperti kewujudan Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC), BRICS, ASEAN, Trans-Pacific Partnership (TPP), D-8 Organization for Economic Cooperation dan sebagainya.
Berjaya atau gagalnya kerjasama yang dirangka menerusi SG4 ini, adalah dipikul oleh kita semua.
Sudah tentu perkara yang baharu seperti ini, tentunya janggal dan kekok pada mulanya kepada kita, termasuklah juga satu benda baharu kepada semua anggota pentadbiran pegawai-pegawai kerajaan untuk menentukan kaedah terbaik dalam rangka kerja untuk melaksanakannya.
Untuk berdepan keadaan ini, kita mestilah sentiasa bersikap positif dan pro-aktif dan sentiasa mencari jalan untuk mengatasinya, kita saling berlapang dada, dengan semangat bantu membantu; insya-Allah kita mampu mengatasi kejanggalan ini. Saya yakin dengan komitmen Menteri Besar Perlis, Kelantan dan Kedah, kita mampu jayakan bersama.
Biarlah kita menjadi seperti peribahasa Melayu : “Jika pandai menggunting, hendaklah pandai menjahitnya” – jika sudah memulai suatu pekerjaan, janganlah dibiarkan terbengkalai
Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin hadirat sekalian,
Usaha kita untuk menggerakkan peranan SG4 ini perlu digarap dengan beberapa kefahaman :
PERTAMA, SG4 perlu bersikap progresif dan pragmatik dalam mempamerkan dan melaksanakan “collective bargaining power” terutamanya bagi memelihara kepentingan negeri yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.
KEDUA, SG4 juga mesti menjalankan fungsi sebagai “nation-building partnership” kepada negara dengan memberikan kerjasama dan penglibatan penuh dalam menjayakan agenda nasional terutamanya yang mendatangkan manfaat kepada negeri-negeri di koridor utara-timur Semenanjung Malaysia.
Kedua-dua peranan “collective bargaining power” dan “nation-building partnership” ini adalah sangat penting bagi menjamin agar nanti, SG4 boleh mencipta penanda aras baharu yang lebih signifikan, dan realistik.
Antaranya sebagai contoh :
1. Menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) SG4 agar dapat bertumbuh sebanyak antara 3.7 peratus hingga 5.9 peratus setahun kepada RM149 bilion, iaitu 15.7 peratus sumbangan kepada KDNK negara berbanding hanya RM124 bilion dengan sumbangan kepada KDNK negara sebanyak 7.9 peratus pada tahun lalu.
2. Meletakkan sasaran nilai pelaburan SG4 sekurang – kurangnya RM100 bilion dengan jumlah 50 ribu pekerjaan dalam masa lima tahun ini, dan lain – lain sasaran yang akan diperincikan dalam bengkel nanti.
Justeru, kluster-kluster yang diwujudkan di bawah SG4 perlu digerakkan dengan proaktif dengan memfokuskan kepada 10 agenda berikut :
1. Menjalin – hubung sistem pengangkutan dan logistik yang efisien, Contohnya, untuk Kelantan dan Terengganu menjadikan Transit Development Oriented (TOD) di Stesyen ECRL sektor Kelantan dan Terengganu agar saling berkait.
2. Merangka persediaan aset dan tenaga sukarelawan sebagai mitigasi bencana dengan efektif secara bersama
3. Pengurusan prospek pelaburan yang bernilai tinggi dan mengutamakan industri hiliran, mengikut keutamaan (niche) negeri masing-masing. Ada yang boleh ditanam dituai di Kedah, tapi tidak di Terengganu. Mungkin ada pelabur bidang tani yang berjumpa Negeri Kelantan dan kurang sesuai, boleh dibawa ke Negeri Kedah.
4. Peluasan pasaran perniagaan dan perdagangan yang saling melengkapkan dan mampu lebih berdaya saing.
5. Pengeluaran komoditi makanan utama yang mencapai tahap sara diri dan berskala industri
6. Membangunkan rantaian nilai agro makanan yang lengkap
7. Saling membantu untuk memantapkan eko-sistem pendidikan yang komprehensif dan masa depan
8. Ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berjati-diri serta saling melengkapkan di antara satu sama lain
9. Pentadbiran yang cekap, berintegriti serta pengurusan kutipan hasil yang besar DAN
10. Pengeksplorasian dan pengkomersilan sumber asli yang lestari dengan pembangunan industri dan penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi
Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin hadirat sekalian,
Kita juga sedar dan akui bahawa setiap negeri mempunyai kekangan yang tersendiri.
Perbezaan isu sosial dan ekonomi yang dinamik juga, memerlukan kepada perhatian dan pendekatan yang berbeza untuk menanganinya.
Kesemua ini pasti mempengaruhi senarai keutamaan (priority list) kerajaan negeri-negeri SG4, termasuklah perundingan sedia ada dengan Kerajaan Persekutuan di bawah perbelanjaan pembangunan (development expenditure), dan lain – lain isu dalam Majlis Tanah Negara, Majlis Kewangan Negara, Koridor Ekonomi, Majlis Tindakan Perubahan Iklim dan sebagainya.
Justeru, dalam merealisasikan agenda bersama menerusi SG4 ini dengan lebih cekap dan berkesan, roadmap kita ialah :
Fasa 1 – Menggiatkan perkongsian pintar dan kerjasama antara SG4 dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta, pakar bidang dan ahli akademik, serta semua stakeholders. Fasa ini adalah sangat kritikal dalam mengenal pasti potensi, mengumpul sumber, mengurus risiko dan menggalakkan inovasi.
Fasa 2 – Membangunkan kerangka tindakan (blueprint) yang komprehensif dan seimbang, dengan mengambil kira keperluan, kemampuan serta kekuatan aset-aset setiap negeri. Aset, keunikan atau kekuatan setiap negeri ini perlu dipertimbang secara kolektif dengan rakan kerjasama negeri SG4 yang lain untuk dioptimakan demi kesejahteraan bersama. Fasa ini memerlukan analisa menyeluruh, perundingan berterusan dengan semua pihak berkepentingan, penyusunan strategi yang berdaya saing dan perancangan pembiayaan yang lestari.
Fasa 3 – Melaksanakan projek dan program berimpak tinggi kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan pembangunan fizikal di negeri-negeri SG4. Paling penting pada fasa ini ialah penglibatan menyeluruh dan komunikasi berkesan antara pemegang taruh (stakeholder) dan pasukan pelaksana, di samping sistem pemantauan dan penilaian yang efisien bagi menjamin hasilnya bermanfaat buat rakyat tempatan.
Kebersamaan dalam pembangunan negeri-negeri SG4 ini amat penting, memandangkan potensi besar yang ada, antaranya ialah SG4 dianggotai oleh :
1. Negeri-negeri pengeluar sumber makanan terbesar negara
2. Negeri-negeri yang memiliki hampir 70% mineral nadir bumi negara yang diperlukan.
3. Negeri-negeri yang mempunyai alam sekitar, hutan, tasik, pantai dan gugusan pulau peranginan yang paling menarik.
4. Negeri-negeri yang mempunyai radiasi matahari terbaik di Malaysia untuk industri tenaga hijau, termasuklah ada yang akan menjadi pusat Carbon Capture Utilization and Storage (CCUS). DAN
5. Negeri-negeri yang menjadi ‘gateway’ utama negara di sebelah utara menghubungkan Thailand, terutama wilayah selatan Thai yang agresif aktiviti ekonominya, dan Tanah Besar Asia.
Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin hadirat sekalian,
Hari ini juga akan diadakan bengkel-bengkel khusus mengikut kluster masing-masing. Dan bengkel ini bukanlah kali pertama diadakan kerana kebanyakannya telah pun berbincang beberapa kali dan sudah memulai kerjasama yang diinginkan.
Bengkel ini akan menilai target pencapaian untuk jangka masa pendek atau hasil yang dapat dilihat dengan segera (low-hanging fruits), pertengahan dan jangka masa panjang.
Semoga bengkel exco-exco negeri SG4, yang diadakan mengikut kluster-kluster keutamaan pada petang nanti, akan menghasilkan solusi bersama yang akan membuka kunci atau ‘unlock’ potensi-potensi yang hebat dan dahsyat ini insyaAllah.
Sama-sama kita doa agar Allah SWT memberkati usaha muafakat kita dalam membangunkan sebuah negara yang maju, berkat dan sejahtera buat semua.
Saya akhiri dengan serangkap pantun:
Kalau roboh Kota Melaka,
Papan di Kemaman hamba dirikan,
Kalau teguh kita bersama,
Tuhan makbulkan negeri kan aman.
Sekian. – HARAKAHDAILY 2/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan