TSAM dedah punca sebenar Muafakat Nasional runtuh
Pakatan sulit Zahid, Anwar dan DAP bentuk 'jajaran baharu'
September 9, 2024
TANGGA BATU: Pakatan antara Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk pada September 2019 sebenarnya runtuh disebabkan ada pemimpin yang mengutamakan kepentingan peribadi lebih daripada kepentingan ummah.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu sangat mengecewakan di saat beliau merasakan telah menemui formula untuk parti-parti Melayu bangkit semula dan akhirnya dapat bersama memerintah negara dengan penubuhan MN itu.
“Muafakat Nasional lahir dengan air mata yang berlinangan, Muafakat Nasional lahir dengan cita-cita yang amat besar, bagi orang yang ikhlas. Bagi orang yang nak main politik, wallahu’alam.
“Tetapi bagi orang jujur mereka bersyukur Umno dan PAS akhirnya boleh bermuafakat dalam satu landasan politik. Dan Allah SWT memakbulkan janji Allah SWT yakni bila kita bersatu kita akan dapat kekuatan semula.
“Dulu kita jatuh kerana kita berpecah. Walaupun kamu kuat, kamu hebat, macam mana jatuh kalah, tuhan gantikan dengan kemenangan dalam masa yang singkat,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian sewaktu menyampaikan ucaptama di dalam program Konvensyen PAS Melaka 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di Pantai Puteri, di sini kelmarin.
Tambah beliau, hakikatnya pakatan itu telah menghasilkan kemenangan demi kemenangan dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) setelah BN tumbang buat kali pertama selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.
Jelasnya, ia terbukti setelah penubuhan MN, Umno dengan dibantu PAS berjaya memenangi PRK Tanjung Piai, Cameron Highland, Semenyih, Rantau, Kimanis dan lain-lain lagi di bawah semangat muafakat itu walaupun Kerajaan Persekutuan dan negeri diperintah parti lawan.
Tambah beliau lagi, tak sampai enam bulan selepas penubuhan MN, Allah SWT anugerahkan semula kerajaan kepada Umno dan PAS apabila BERSATU bertindak meninggalkan Kerajaan PH ketika itu.
Namun katanya, tidak sampai pun 10 bulan selepas lahir MN, gabungan itu berdepan dengan satu situasi yang Annuar sifatkan sebagai kejadian paling klasik dalam sejarah hidup politik beliau.
“Apa yang saya nak sebutkan di sini ialah selepas 10 bulan, tiba-tiba pada bulan tujuh (Julai) 2020, berbangkit satu keadaan di mana mendapati Presiden Umno secara sulit mengadakan pertemuan dengan DAP dan Anwar Ibrahim pada satu malam di Ampang.
“Ringkasnya (Zahid) merancang untuk membuat jajaran baru pada Julai 2020 selepas Dato’ Sri Najib dijatuhkan hukuman,” katanya.
Apa yang beliau kesalkan ialah ‘jajaran baharu’ itu dibuat disebabkan faktor kepentingan peribadi semata-mata iaitu kerana kegagalan Zahid untuk menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ini saya kata ni, dasar yang jadi rosak parti kerana kepentingan perjuangan individu. Yang lain diwayangkan dengan skrip-skrip menampakkan seolah-olah perjuangan benda yang besar, tapi realiti sebenarnya kepentingan individu.
“Yang pada bulan Julai dan Ogos itu Umno tiba-tiba nak jawatan Timbalan Perdana Menteri melalui keputusan Biro Politiknya. Tiba-tiba nak minta. Kenapa? Kerana ada orang yang panik, dia nak pegang pada kuasa. Tiba-tiba dia minta jawatan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Menurut Annuar, beliau sendiri yang merundingkan tuntutan itu kepada Muhyiddin, namun beliau percaya bahawa penolakan itu dilakukan Muhyiddin kerana beliau telah mengetahui pakatan sulit Zahid dengan Anwar-DAP.
Menurut beliau, Anwar mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya mempunyai cukup Ahli Parlimen sekitar bulan Ogos dan memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.
“Saya nak menghuraikan ini nak berceritakan ‘maneuvering’ (gerakan) politik kerana agenda peribadi, bukan kepentingan parti ataupun ummah. Kita sudah jadi kerajaan, Umno dan PAS.
“Menterinya daripada Umno dan PAS. Kita sedang menang pilihan raya. Rakyat sedang bergelumang dengan Covid-19. Bagaimana mungkin kita boleh pergi buat jajaran baru,” katanya.
Katanya, setelah pengumuman oleh Anwar, beliau telah diminta oleh Muhyiddin untuk mengeluarkan kenyataan bersama Setiausaha-setiausaha Agung parti komponen dalam kerajaan PN-BN.
Iaitu jelasnya, untuk menafikan dakwaan bahawa PH ada ‘numbers’, tetapi Zahid melarangnya daripada mengeluarkan kenyataan itu.
Jelasnya, orang luar tak nampak apa sedang berlaku ketika itu, namun beliau yang berada dalam kerajaan dan berada dalam pentadbiran parti sangat maklum dengan perkara berlaku.
“Saya ulang dah berulang-ulang kali supaya sejarah ini diperbetulkan. Sebab sejarah kononnya BERSATU nak bunuh Umno, kononnya PAS yang menghancurkan Muafakat Nasional, kononnya Ismail Sabri ini petualanglah dan sebagainya.
“Ini naratif-naratif standard yang dihidangkan di bawah kerana cerita yang sebenar ini tidak pernah dihidangkan pada khalayak, iaitu pertemuan sulit dibuat merancang jajaran baru,” katanya.
Selain Annuar, turut menyampaikan ucapan di dalam majlis itu ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail yang juga Ahli Parlimen Jasin yang menyampaikan ucapan alu-aluan.
Di dalam program sama, Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Bakri Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu telah membentangkan ‘Road Map PAS Melaka Menuju Seri Negeri’ yang menjadi perancangan strategik parti itu bagi menawan pentadbiran Negeri Melaka.
Turut hadir ialah ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis, Timbalan-timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Imran Abdul Rahman dan Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail serta Setiausaha PAS Melaka, Asri Shaik Abdul Aziz.
Program setengah hari itu disertai hampir 300 orang perwakilan terdiri daripada pimpinan-pimpinan PAS peringkat Kawasan dan Cawangan seluruh Melaka yang menjadi medan perancangan strategik parti tersebut bagi negeri itu. – HARAKAHDAILY 9/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan