Tulisan Jawi nak laris produk, logo Halal tak nak?



Tulisan Jawi nak laris produk, logo Halal tak nak?
September 9, 2024

PARIT BUNTAR: Kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Sum Sih berkaitan isu sijil Halal di premis makan dan restoran wajar disiasat oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berikutan mengundang kontroversi ke atas umat Islam.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki berkata, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu menasihati pemimpin DAP itu dan memberi amaran kerana ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan menyentuh sensiviti umat Islam.

“Bukankah Perdan Menteri seorang yang berjiwa Islam? Nasihat dan tegurlah atau ambil tindakan. Cuba kalau Ahli Parlimen pembangkang atau pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang cakap, pasti sepantas kilat tindakan akan diambil,” ujar beliau di sini.

Kata beliau, pihaknya kesal apabila Perdana Menteri menganggap isu sijil Halal yang dipertikai oleh pemimpin DAP itu adalah pandangan peribadi, sementara Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyifatkan kata-kata rakannya itu hanya sekadar menzahirkan kebimbangan.

Ustaz Misbahul Munir turut menempelak pembelaan pernah dinyatakan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menegaskan DAP tidak pernah ganggu program-program Islam semasa kempen PRK Sungai Bakap lalu.

“Habis kita nak kata apa? Tidakkah apa yang dilakukan oleh pemimpin DAP itu dilihat cuba mencampuri hal ehwal umat Islam berkaitan hukum halal dan haram. Konon nak jaga kepentingan orang Islam tapi takkan sampai suruh orang Islam gadai agama?

“Kalau bercakap biarlah guna akal yang waras. Orang bukan Islam boleh makan apa saja tetapi orang Islam perlu melihat dari segi halal-haramnya,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu Misbah menyifatkan sikap pemimpin DAP yang cuba mencampuri hukum-hakam agama telah menyentuh 3R dan wajar ditahan serta disiasat.

“Kalau takut orang Islam tak masuk kedai yang tiada tanda halal, orang bukan Islam ramai lagi yang boleh makan. Mengapa harapkan orang Islam masuk kedai mereka?

“Nak bagi pelanggan Islam masuk restoran kamu, letaklah tanda Halal JAKIM. Kalau syarikat bukan-Muslim boleh menggunakan tulisan Jawi pada nama produk, untuk menarik pelanggan Islam beli, takkan nak letak logo Halal bermasalah pula?” bidasnya.

Sementara katanya lagi, amat dangkal dakwaan Ahli Parlimen Seputeh itu kononnya sijil Halal ini akan memalukan Malaysia di mata negara lain, walhal semua negara di dunia telahpun mengiktiraf tanda Halal di negara masing-masing termasuk negara Barat.

“Ni saya nak beritahu, di negara bukan Islam seperti China, Korea dan Jepun pun sudah ada tanda Halal di beberapa restoran. Mereka (negara bukan Islam) ada rasa malu ke dengan tanda Halal ni?” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 9/9/2024

Ulasan