Umno cuba letak beban kekalahan kepada DAP
PRK N.29 DUN Mahkota
September 24, 2024
KLUANG: Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyatakan bahawa DAP ‘terpaling malu’ jika Barisan Nasional (BN) kalah di PRK N.29 DUN Mahkota dilihat sebagai usaha meletakkan beban kekalahan kepada DAP.
Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, ia juga adalah sesuatu kenyataan paling pelik kerana biasanya ‘terpaling malu’ ialah mereka yang kalah.
“Maka bebanan ketika ini diletakkan oleh Umno kepada DAP. Jika menang nanti, BN akan kata mereka sudah diterima rakyat semua kaum dan jika mereka kalah nanti, mereka kata ia adalah salah DAP,” ujar beliau.
Menurutnya, apa yang pasti bermain di minda Nur Jazlan adalah, adakah pengundi DAP khususnya dari kaum Cina akan berikan undian mereka kepada calon Umno-BN.
Sedangkan katanya, DAP sendiri tahu bahawa untuk kaum Cina memihak kepada Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, tetapi sebahagiannya pula kepada BN dan Perikatan Nasional (PN).
“Maka diingatkan kepada DAP bahawa mereka perlu bekerja keras untuk meyakinkan pengundi Cina untuk memberikan undian kepada calon Umno-BN.
“Maka dijadikan hujah bahawa yang akan ‘terpaling malu’ adalah DAP jika BN kalah,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau sebentar tadi.
Menurut Khairul Faizi, beberapa hari yang lepas, Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching sendiri mengakui bahawa DAP berdepan kesukaran membawa keluar pengundi Cina untuk mengundi calon BN.
Nie Ching berkata demikian sebagai menyatakan sikap para pengundi Cina di DUN Mahkota yang menunjukkan reaksi tidak selesa dengan Umno.
“Maka kerja DAP adalah untuk meyakinkan pengundi-pengundi mereka untuk beralih mengundi BN. Cabaran besar DAP ini bukannya kerana pengundi mereka tidak mahu keluar mengundi.
“Tetapi kerana perlu mengundi satu parti iaitu Umno-BN yang mereka musuhi sejak sekian lama,” katanya.
Kerana itu, tegas Khairul Faizi, alternatif yang terbaik kepada pengundi-pengundi di DUN Mahkota adalah untuk memberikan undian kepada calon PERIKATAN NASIONAL pada 28 September nanti. – HARAKAHDAILY 24/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan