Undang-undang longgar, pelajar terjebak vape
N.V. SUBBAROW
Oleh SAFINA RAMLI
10 September 2024, 8:00 am
GEJALA vape dan e-rokok dalam kalangan rakyat negara ini bukan lagi isu baharu, malah produk itu telah menular dalam kalangan remaja di sekolah dan dibimbangi menjadi satu budaya yang memudaratkan mereka.
Menerusi hasil tinjauan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) selama tiga tahun terhadap 15,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur, mendapati 8,000 dengan 2,000 daripada mereka merupakan perempuan mengaku menghisap vape.
Kepada wartawan Utusan Malaysia di George Town, SAFINA RAMLI dibantu jurugambar, IQBAL HAMDAN, Pegawai Penyelidik dan Pendidikan CAP, N.V. SUBBAROW melahirkan kebimbangan dengan ketagihan nikotin dalam kalangan remaja terutama golongan pelajar yang akan membawa mudarat dari segi kesihatan mental mahupun fizikal jika tiada kawalan daripada kerajaan.
UTUSAN: Sejak bila berlaku peningkatan remaja yang terlibat dalam vape dan e-rokok?
SUBBAROW: Saya mulakan dulu dengan sejarah saya di CAP yang terlibat dengan kempen antimerokok ini sejak 30 tahun lalu. Pada 1970-an hingga 1980-an, kita melihat hanya golongan lelaki menghisap rokok, namun kemudian pada 1990-an, wanita pula terjebak dalam gejala merokok kerana pengaruh iklan dan mahu dilihat sama dengan lelaki.
Selepas itu, sekitar 1990-an, wujudnya banyak bar dan kelab malam, di situ bermulanya gejala merokok berkembang pesat tanpa mengira wanita atau lelaki, semuanya akan merokok.
Kemudian, 10 tahun lalu, syarikat-syarikat rokok melihat adanya keperluan untuk mencari pelanggan baharu dan di sinilah bermulanya e-rokok dan kira-kira lima tahun lepas, vape muncul di pasaran.
Malah, menurut maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), vape kini mempunyai lebih 16,000 perisa dan lebih membimbangkan, CAP telah melakukan tinjauan ke atas 15,000 orang pelajar di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor mendapati 8,000 dengan 2,000 daripada mereka adalah pelajar perempuan mengakui menghisap vape ataupun e-rokok yang kandungan nikotinnya sangat bahaya kepada kesihatan.
Apakah sebab vape lebih mudah mempengaruhi golongan remaja termasuk pelajar?
Vape atau e-rokok mudah untuk diperoleh. Sekarang ini kita dapati beli vape sudah jadi macam beli aiskrim di kedai-kedai runcit. Tinjauan CAP mendapati vape amat mudah dibeli tanpa kawalan daripada mana-mana pihak.
Pelajar yang masih muda pun dapat beli vape. Vape memang tiada kawalan daripada sesiapa pun, malah tiada akta yang menghalang penjualannya kepada orang ramai termasuk golongan remaja.
Tambahan pula vape tidak lagi berbau busuk seperti rokok tradisional yang mengandungi tembakau. Vape yang mempunyai pelbagai perisa buah-buahan amat mudah menarik perhatian remaja termasuk perempuan.
Saya sendiri menjalankan tinjauan rambang di beberapa buah pasar raya terkemuka di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Daripada 10 remaja yang saya temui, lapan daripadanya mengaku menghisap vape, malah mereka tanpa segan silu menghisap vape di depan orang ramai.
Apa alasan mereka?
Golongan remaja adalah yang paling mudah terpikat dengan vape kerana pengaruh rakan sebaya dan juga ada dalam kalangan mereka tinggal dengan keluarga yang menghisap rokok atau vape.
Jadi, mereka tidak dapat membezakan bahawa menghisap vape adalah salah dan berbahaya kepada kesihatan mental dan fizikal kerana sejak kecil melihat ibu atau bapa merokok sama ada rokok tradisional, e-rokok atau vape.
Daripada tinjauan CAP, kami dapati golongan remaja yang tinggal dengan ahli keluarga yang merokok akan menjadi perokok atau penghisap vape juga.
Mereka tidak sedar tentang bahaya nikotin terhadap diri sendiri kerana vape sekarang mempunyai pelbagai perisa. Ada penghisap vape wanita yang memberitahu kami bahawa dia menghisap vape kerana suka dengan bau buah dan vape juga tidak menjadikan dirinya berbau busuk seperti menghisap rokok tradisional.
Apabila saya tanya kepada orang muda, jelas mereka beritahu menghisap vape tidak melanggar undang-undang negara pada masa ini.
Ada juga guru sekolah yang memaklumkan kepada CAP bahawa tandas di sekolah tidak lagi berbau tembakau, namun berbau asap vape dengan pelbagai perisa. Itu menunjukkan betapa meruncing gejala vape pada masa ini.
Guru-guru sekolah pun ada menyatakan kebimbangan kepada CAP selepas nikotin dikeluarkan daripada Akta Racun 1952 kerana pelajar terdedah kepada vape yang mempunyai nikotin di dalamnya.
Saranan CAP kepada kerajaan agar gejala vape dapat dikawal daripada merebak kepada generasi muda?
Kuncinya adalah kerajaan. Pelbagai negara antaranya Singapura dan Thailand mengharamkan vape di negara mereka.
Namun, sebaliknya di Malaysia pula menjadi ‘syurga’ kepada penghisap vape. Di pusat bandar George Town sahaja, kedai-kedai vape tumbuh dengan pesat.
Kementerian Kesihatan tidak boleh mengawal penggunaan gel nikotin dalam vape sekiranya tiada undang-undang gantian diwujudkan selepas ia dikeluarkan daripada Akta Racun 1952.
Oleh itu, Dasar Generasi Penamat (GEG), iaitu salah satu perundangan perlu diluluskan segera bagi melindungi kesihatan awam. CAP menggesa kesemua ahli Parlimen menyokong GEG bagi memastikan generasi masa depan tidak dirosakkan dengan nikotin tanpa kawalan.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan