[VIDEO] Calon PN DUN Mahkota diumum tiga hari lagi - Muhyiddin


[VIDEO] Calon PN DUN Mahkota diumum tiga hari lagi - Muhyiddin

06 September 2024 04:19pmMasa membaca: 2 minit

KLUANG - Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calonnya yang bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, tiga hari lagi.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya sudah menyenarai pendek senarai calon yang dikemukakan kepimpinan negeri bagi berdepan PRK DUN Mahkota.

“Saya sudah bincang dengan dengan Datuk Seri Azmin Ali, (Datuk Dr) Sahruddin Jamal dan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Dalam sehari dua kita akan selesaikan dan putuskan, selepas itu akan diumumkan lebih awal daripada biasa,” katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata demikian dalam sidang akhkbar selepas Kenduri Rakyat di Kampung Bentong pada Jumaat.

Muhyiddin (dua kiri) bergambar bersama tetamu yang hadir pada Kenduri Rakyat di Kampung Bentong, Kluang pada Jumaat.

Ditanya, sama ada PN akan melancarkan jentera PRK DUN Mahkota secara rasmi, Muhyiddin berkata, pelancarannya akan dibuat sekali gus semasa pengumuman calon PN nanti.


“Pelancaran dibuat sekali gus dengan pengumuman calon. Kalau nak buat pelancaran rasmi, kita dah bergerak bagi memastikan sebaik mungkin dan rakyat akan beri sokongan kepada kita,” katanya.


Kelmarin, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Keputusan PN bertanding mewakilli gabungan itu dibuat memandangkan kerusi itu sebelum ini milik Bersatu.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, calon PN akan diumumkan seminggu sebelum hari penamaan calon.

“PN akan mengikut parti mana yang bertanding di kerusi berkenaan sebelum ini sebagaimana yang kita lakukan di DUN Nenggiri dan Sungai Bakap,” katanya.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

Ulasan