
23 mangsa, ahli keluarga korban tanah runtuh Batang Kali saman kerajaan Selangor
Oleh Wartawan BH - Oktober 28, 2024 @ 7:07pm
Anggota SMART menjalankan operasi mencari mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali. - Gambar fail /ihsan bomba
KUALA LUMPUR: Seramai 23 mangsa dan ahli keluarga individu yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada 2022 menyaman kerajaan Selangor dan enam yang lain kerana didakwa gagal menunaikan tanggungjawab serta kecuaian.
Selain kerajaan Selangor, pihak lain dinamakan ialah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.
Turut dinamakan dalam saman itu ialah BL Agro Sdn Bhd, Malaysia Botanical Gardens Resort Sdn Bhd dan Infrasel Sdn Bhd.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif menuntut ganti rugi bagi kerosakan harta benda, kecederaan peribadi, ganti rugi khas dan ganti rugi kehilangan tanggungan serta kehilangan nyawa.
Mereka turut menuntut ganti rugi am dan teruk serta kerugian tidak ketara yang tidak terhad kepada kesakitan dan penderitaan, tekanan emosi serta mental.
Ganti rugi khas yang dituntut ialah RM1,220,406.84.
Mereka turut menuntut tambahan 2.5 peratus faedah ke atas ganti rugi khas secara am dan ganti rugi teruk serta kos.
Faedah 2.5 peratus itu pula dikira dari tarikh tragedi tanah runtuh itu berlaku, pada 16 Disember 2022, sehingga penghakiman dibuat.
Selain itu, plaintif menuntut faedah lima peratus setahun dari tarikh writ saman (23 Oktober 2024) sehingga penghakiman dibuat.
Dalam writ saman, plaintif mendakwa BL Agro dan Malaysia Botanical Gardens Resort disaman atas kapasiti sebagai pengusaha dan pemilik tapak perkhemahan serta tanah terbabit.
"Penggunaan sebahagian tanah tapak perkhemahan terbabit adalah zon komersial walaupun mengikut hak milik tanah, ia bagi tujuan pertanian," katanya.
Pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor disaman berikutan tanggungjawabnya berkaitan cerun di negeri itu.
Tindakan undang-undang sedang diambil terhadap Infrasel, yang bertanggungjawab dalam pemeriksaan dan penyelenggaraan semua jalan di Selangor, mewakili Jabatan Kerja Raya Selangor.
Yang Dipertua MPHS disaman atas tanggungjawabnya memastikan semua pembangunan dan perniagaan dikawal selia, manakala PKPS pula disaman atas kapasitinya sebagai bekas pemilik tanah tapak perkhemahan.
Menurut plaintif, kerajaan Selangor adalah pihak yang bertanggungjawab ke atas JKR Selangor, MPHS dan PKPS.
Tragedi tanah runtuh pada 16 Disember 2022 di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali itu mengorbankan 31 nyawa.
Sebelum ini, seorang daripada mangsa tanah runtuh itu, Wong Wai Foong, berkata laporan didedahkan mengenai tanah runtuh Batang Kali tidak membawa kepada penutupan kes.
Laporan itu menolak sebarang aktiviti antropogenik atau berkaitan manusia yang menyumbang kepada tragedi terbabit.
Ulasan
Catat Ulasan