
Abang Ya terharu kehadiran Menteri Besar Perlis
October 12, 2024
ARAU: Yahya Ali, 69, atau lebih mesra dipanggil ‘Abang Ya’ meluahkan rasa terharu dengan kehadiran Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli di kediamannya di Kampung Rambai, Padang Siding, di sini.
Beliau yang merupakan salah seorang mangsa banjir, terharu menerima kehadiran Shukri bersama pasukan sukarelawan membantu membersihkan rumahnya setelah dilanda banjir setinggi hampir dua kaki.
Operasi gotong-royong ini disertai 25 petugas daripada Khidmat Malaysia, Yayasan Amal, Jabatan Amal Malaysia, Majlis Pembangunan Keselamatan Kampung (MPKK), serta penduduk setempat.
Mereka bahu-membahu membantu mangsa banjir terjejas termasuk Abang Ya yang tinggal bersama isterinya, Sepiah Hassan, 69, dan anak mereka, Siti Suraidah, 34, di mana kedua-duanya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).
Keluarga ini mengalami kerugian besar akibat banjir, dengan banyak barangan di rumah yang terpaksa dibuang kerana rosak.
Bantuan daripada pasukan sukarelawan dan kehadiran Menteri Besar amat dihargai oleh Abang Ya, yang menyatakan rasa syukurnya atas sokongan diberikan, terutama dalam usaha membersihkan rumah mereka.

Aktiviti pembersihan bermula pada jam 9:30 pagi dan berakhir pada 11:30 pagi semalam memberikan kelegaan besar kepada keluarga tersebut.
Sepiah kelihatan sebak ketika disapa oleh Mohd Shukri, kerana terharu dengan keprihatinan pemimpin tertinggi negeri itu.
Beliau turut kelihatan sedih, memandangkan sebelum ini kebanyakan urusan rumah diuruskan oleh anak sulungnya yang baru sahaja meninggal dunia kira-kira tiga bulan lalu.
“Saya sangat bersyukur dengan bantuan ini, kehadiran MB dan pasukan sukarelawan amat mengharukan, lebih-lebih lagi dalam situasi yang mencabar seperti ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2024

share & sebarkan:
Ulasan
Catat Ulasan