Ahli Majlis PBT perlu berkhidmat dengan penuh integriti



Ahli Majlis PBT perlu berkhidmat dengan penuh integriti
October 3, 2024

KUALA TERENGGANU: Ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) hendaklah sentiasa berkhidmat dengan penuh integriti dan komited memperjuangkan kepentingan masyarakat, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau menyatakan demikian pada hantaran di Facebooknya susulan menghadiri Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024-2026, di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, ahli majlis pihak berkuasa tempatan memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Menurutnya, mereka bertanggungjawab merancang, meluluskan, dan mengawasi projek pembangunan, memastikan perkhidmatan awam berjalan lancar, serta mewakili suara penduduk dalam membuat keputusan yang mempengaruhi kehidupan harian.

Tambahnya, peranan mereka juga termasuk menjaga kebersihan, keselamatan, dan kelestarian alam sekitar di kawasan yang diwakili.

“Harapan saya kepada semua ahli majlis pihak berkuasa tempatan yang baru dilantik agar mereka sentiasa berkhidmat dengan penuh integriti, komited memperjuangkan kepentingan masyarakat, dan proaktif dalam menyelesaikan isu-isu setempat,” ujarnya.

Beliau berharap semoga mereka terus berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan serta sentiasa mendengar pandangan dan keperluan penduduk yang diwakili. – HARAKAHDAILY 3/10/2024

Ulasan