Akta 852: Orang ramai tidak tahu larangan jual rokok terbuka



Akta 852: Orang ramai tidak tahu larangan jual rokok terbuka
Penjualan rokok secara terbuka masih berlaku walaupun kerajaan menetapkan mulai 1 Oktober, semua premis perniagaan tidak dibenarkan meletakkan rokok di rak-rak terbuka. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Oleh ARIF AIMAN ASROL, RAJA JAAFAR ALI, SAFINA RAMLI dan MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
2 Oktober 2024, 6:50 am

PETALING JAYA: Ramai peniaga mendakwa mereka tidak tahu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah dikuatkuasakan bermula semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kebanyakan peniaga masih mempamerkan pelbagai jenis rokok secara terbuka di rak-rak jualan sedangkan Akta 852 melarang penjualan bahan tembakau secara terbuka.

Antara alasan diberikan, me­reka tidak mendapat maklumat mengenai penguatkuasaan Ak­ta 852 yang melarang produk me­ngandungi nikotin dipamerkan secara terbuka bermula semalam.

Seorang pekerja di sebuah rangkaian kedai runcit di George Town, Amelia Hassan berkata, dia tidak tahu mengenai pe­nguatkuasaan akta tersebut.

“Tiada siapa yang maklumkan kepada kami produk rokok tidak boleh dipamerkan secara terbuka mulai hari ini. Selalunya, akan ada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) datang dan maklumkan kepada kami. Namun, tiada siapa yang maklumkan mengenai Akta 852 kepada kami,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kenyataan sama disuarakan oleh pekerja runcit di Shah Alam, dikenali sebagai Ali, 30, yang memberitahu, dia tidak mengetahui larangan tersebut serta penguatkuasaan akta berkenaan, namun bersedia untuk mematuhinya jika diarah­kan oleh majikan.


“Majikan tidak beri arahan kepada saya supaya jangan letak rokok atas rak jualan. Kalau ada arahan, saya pasti letakkan rokok di tempat yang majikan suruh,” katanya.

ADVERTISING


Seorang lagi peniaga, Ahmad Shah, 50, pula berkata, dia memerlukan masa untuk memindahkan rokok-rokok yang dijual ke tempat lain.

“Semalam saya kena jumpa pembekal kerana ada masalah stok barang. Tetapi, saya tetap akan alihkan rokok di tempat lain seperti yang kerajaan minta,” katanya.

Di Johor Bahru pula, tinjauan yang dibuat mendapati, pasar raya, kedai runcit dan stesen minyak masih menjual rokok secara terbuka dengan alasan tidak tahu penguatkuasaan Akta 852 dan pekerja di kaunter membe­ritahu, mereka hanya mengikut arahan daripada pihak atasan atau pemilik premis.

Sementara itu, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli mengakui tidak mudah untuk mengubah normalisasi dalam perniagaan selepas ia beroperasi selama berdekad.

Bagaimanapun katanya, ti­dak mustahil untuk industri berubah ke arah yang lebih baik dengan mematuhi Akta 852 tetapi ia memerlukan sokongan dan dorongan daripada pihak kerajaan.

“Kami sangat-sangat menyeru semua pihak mengambil pendekatan proaktif iaitu dalam tempoh enam bulan ke satu tahun ini, kita cuba buat yang terbaik dan mengikut peraturan-peraturan Akta 852.

“Ini kerana, sekiranya kita melanggar akta tersebut, ia akan memberi kesan yang buruk kepada industri secara keseluruhan. Satu perniagaan buat salah, tetapi orang ramai akan anggap satu industri vape bersalah. Salah satu peraturan yang DPVM sendiri dan industri secara majoriti setuju adalah, kami tidak mahu pe­nyalahgunaan vape oleh ka­nak-kanak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, orang awam perlu membuat laporan terhadap perokok dan penghisap rokok elektronik atau vape yang melanggar pe­raturan dalam Akta 852.

“Kita harap kerajaan me­nguatkuasakan Akta 852 ini secara menyeluruh di lapangan iaitu di kedai-kedai makan mahupun kawasan awam. Tidak guna sekiranya kita ada peraturan itu tetapi pelaksanaannya lemah.

“Orang awam juga perlu memberi kerjasama yang baik terhadap penguat kuasa, sekiranya melihat ada yang me­langgar Akta 852 maka terus lapor supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sebelum ini mengumumkan Akta 852 akan dikuatkuasakan mulai semalam merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam. – UTUSAN

Ulasan