Apa kaedah terbaik pemulihan GISBH?
Aspek utama dalam memperbetulkan akidah yang salah merupakan langkah pertama yang perlu diambil dalam usaha untuk memulihkan individu atau masyarakat yang terpengaruh dengan ajaran sesat.
Oleh Anas Shazni Shafie
21 Oktober 2024, 8:00 am
KEPUTUSAN Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang berlangsung pada 20 September 2024 telah memutuskan Global Ikhwan Service and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) sebagai kumpulan ajaran sesat. Pengisytiharan ini sekaligus menjadikan Perlis selaku negeri pertama yang mengeluarkan fatwa sesat terhadap ajaran dan kepercayaan yang dibawa oleh GISBH kerana mengandungi unsur ajaran batiniah yang menimbulkan pelbagai isu akidah. Keputusan ini dicapai setelah meneliti segala bukti yang diterima oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri. GISBH adalah kesinambungan kumpulan ajaran sesat Al-Arqam dan Rufaqa yang telah difatwakan sesat pada Ogos 1994 oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Dalam Islam, ajaran sesat adalah suatu kefahaman dan kepercayaan yang menyimpang dari asas utama ajaran Islam yang berteraskan Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas berpandukan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah serta mematuhi Jawatankuasa Fatwa Negeri. Kebiasaannya, kumpulan ajaran sesat dikenali kerana memutarbelitkan atau menambah elemen-elemen yang tidak sesuai dengan pegangan akidah, ibadah dan syariat Islam yang sahih.
Persoalannya, apakah kaedah yang terbaik untuk membawa GISBH kembali kepada Islam dan kehidupan yang sebenar. Kaedah pemulihan yang berkesan perlu merangkumi pelbagai pendekatan yang disesuaikan dengan individu dan komuniti sasaran, kerana proses pemulihan GISBH berlaku atas asas agama Islam, sosial dan peribadi yang berbeza.
Bagaimana model kaedah Rasulullah berdakwah kepada golongan jahiliyah (sesat) dapat digunapakai oleh kerajaan untuk memulihkan pengikut ajaran sesat kembali kepada jalan yang benar di Malaysia? Pertama, penumpuan soal akidah dan ibadat sebagai fokus awal Rasulullah kepada masyarakat jahiliyah (sesat) ini adalah model pemulihan yang boleh diikuti dalam usaha pemulihan ajaran sesat yang dihadapi di Malaysia pada ketika ini. Ini bermaksud, keutamaan pemulihan perlu tepat iaitu memperbetulkan akidah perlu lebih awal dilakukan berbanding kaunseling, kenegaraan, perundangan dan sebagainya. Kaedah awal dalam pemulihan kumpulan ajaran sesat merupakan proses yang penting dan memerlukan pendekatan yang sistematik dengan mencontohi model kaedah yang dilakukan secara berperingkat oleh Rasulullah.
Sekiranya kaedah memperbetulkan akidah gagal diyakinkan kepada pengikut ajaran sesat, maka ia akan menimbulkan kesukaran untuk menjamin golongan tersebut meninggalkan ajaran dan tidak mengulangi perkara sama di masa hadapan.
Aspek utama dalam memperbetulkan akidah yang salah merupakan langkah pertama yang perlu diambil dalam usaha untuk memulihkan individu atau masyarakat yang terpengaruh dengan ajaran sesat. Penekanan terhadap akidah sebagai langkah pertama adalah penting, kerana akidah yang benar akan membentuk asas yang kukuh dalam memperbaiki keadaan seseorang individu atau masyarakat. Penggunaan teks al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan utama dalam proses pemulihan juga memberikan panduan yang jelas, sahih, jalan yang benar dan tidak ada kesangsian bagi membetulkan akidah yang salah.
Akidah yang salah boleh memberi impak yang besar kepada individu dan masyarakat. Kesan akidah yang salah boleh menyebabkan ketidakstabilan emosi, kecenderungan kepada amalan sesat dan mungkin juga kemerosotan moral dalam masyarakat. Oleh itu, akidah yang benar perlu ditegakkan terlebih dahulu sebagai langkah pertama dalam proses pemulihan. Pendekatan lain seperti kaunseling, kenegaraan, ekonomi, dan sosial diakui turut mempunyai kelebihan, tetapi keberkesanan pendekatan ini bergantung kepada kesimpulan akhir yang dipegang individu atau masyarakat itu, yang mana diwarnai oleh akidah yang benar atau salah. Pendekatan pemulihan yang digunakan oleh Rasulullah dalam memulihkan masyarakat jahiliyah yang sesat merupakan model teladan yang kukuh bagi merealisasikan program pemulihan yang perlu kita ambil pada hari ini.
Rasulullah mengajar kita untuk menyelaraskan diri dengan ajaran yang benar, serta menggunakan al-Quran sebagai panduan utama dalam proses pemulihan. Iman dan kesedaran terhadap ajaran yang sebenar juga penting dalam proses pemulihan, kerana tanpa kesedaran dan keyakinan yang kukuh, individu atau masyarakat tidak akan mampu melalui proses pemulihan dengan sempurna. Pelaksanaan modul pemulihan yang tepat dan relevan merupakan langkah yang penting dalam memastikan kejayaan pemulihan. Modul yang direka khusus untuk memperbetulkan akidah yang salah dan membasmi ajaran sesat perlu diutamakan. Menggunakan pendekatan yang tidak berkesan boleh menyebabkan proses pemulihan menjadi lebih sukar. Oleh itu, penting untuk menekankan breaking the ice dalam proses pemulihan, supaya individu atau masyarakat yang terlibat dapat menerima proses pemulihan dengan lebih mudah.
Langkah-langkah melaksanakan pemulihan perlu dijalankan dengan sistematik dan berkesan. Langkah pertama adalah dengan mengumpul dan mengenali golongan sasaran pengikut ajaran sesat. Saringan pengikut berdasarkan kategori tertentu juga dapat membantu dalam proses pemulihan. Ujian awal perlu dijalankan untuk menilai tahap kefahaman agama mereka. Selain itu, pendekatan dua hala melalui sesi soal jawab secara terbuka adalah cara yang baik untuk membantu pengikut ajaran sesat mendalami pemahaman agama yang sebenar.
Pendidikan dan pemahaman agama yang betul perlu diberi agar segala salah faham tentang ajaran agama Islam yang diperoleh daripada GISBH dapat ditangkis. Program pemulihan yang berkesan perlu melibatkan ulama atau pakar agama yang berautoriti untuk memberi penerangan tentang ajaran Islam sebenar dan menafikan tafsiran fahaman ajaran yang diperoleh pengikut. Selain itu, pendekatan psikososial perlu diambil bagi memberi tumpuan kepada kesihatan mental, emosi, dan sokongan sosial ahli. Ramai individu yang terlibat dalam GISBH menghadapi isu-isu peribadi, seperti trauma atau perasaan terpinggir. Sokongan psikologi dan kaunseling boleh membantu ahli GISBH ini memahami dan mengatasi kepercayaan taasub mereka. Pemulihan perlu dilaksanakan dalam kumpulan masyarakat dan tidak terasing supaya mereka tidak rasa terpinggir.
Kaedah melibatkan komuniti seperti program-program yang melibatkan masyarakat setempat, NGO dan pihak berkuasa tempatan boleh memberikan platform terbaik untuk ahli GISBH kembali berinteraksi secara positif dengan komuniti. Menggunakan bekas pengikut Al-Arqam dan Rufaqa yang telah bertaubat untuk berkongsi pengalaman mereka tentang bagaimana mereka tersalah arah dan akhirnya meninggalkan ideologi GISBH. Modul pemulihan juga perlulah melibatkan sektor ekonomi dan pekerjaan kepada ahli GISBH. Ini kerana majoriti ahli GISBH tidak mampu berdikari dan meneruskan kelangsungan hidup tanpa bantuan GISBH. Membantu individu untuk mendapatkan kemahiran, latihan, dan pekerjaan boleh memberi mereka alternatif untuk berdikari daripada kembali bergantung dengan kegiatan ekonomi GISBH.
Kaedah pemulihan ini perlu berlandaskan kepada prinsip-prinsip yang terdapat dalam al-Quran dan Sunnah. Dalam sejarah Islam, perubahan tingkah laku masyarakat Arab Jahiliyah ke arah nilai-nilai ketuhanan dan kemanusiaan adalah contoh nyata bagaimana pendekatan yang betul dapat mengubah masyarakat daripada kegelapan kepada cahaya kebenaran. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar PhD Pengajian Strategik Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Ulasan
Catat Ulasan