Apa tindakan kita selepas Najib?



Apa tindakan kita selepas Najib?
Oleh Muhammad Nizam Abdul Hamid
30 Oktober 2024, 6:40 am

Hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual membuat keputusan berhubung kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang berhadapan empat tuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB.

Kes itu mula dibawa ke mahkamah pada 20 September 2018 dan hari ini adalah penentuannya.

Pada masa sama, Najib juga sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dakwaan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd. Hukuman itu bagaimanapun dikurangkan separuh oleh Lembaga Pengampunan selepas bekas Perdana Menteri itu membuat rayuan.

Sama ada bekas Perdana Menteri Keenam itu akan dipanggil membela diri atau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, biarlah undang-undang negara mengambil tempat dan memutuskan perkara tersebut.

Yang penting adalah apa yang berlaku selepas kes Najib mula didakwa di mahkamah pada 2018. Apakah yang dipelajari daripada kes tersebut supaya penyelewengan tidak berulang lagi?

Ketika itu seolah-olah korupsi dan penyelewengan berlaku di semua peringkat. Dari atas sampai ke bawah. Bukan sahaja dalam agensi awam, swasta pun sama saja.


Namun tindakan pendakwaan terhadap Najib mungkin membuka mata bahawa bukan ikan bilis sahaja ditangkap, jerung pun tidak terkecuali.

Walaupun Najib menafikan kesemua tuduhan terhadapnya dan menyifatkan ia sebagai pendakwaan berpilih kerana faktor politik, sekurang-kurangnya rakyat melihat ada kesungguhan daripada kerajaan dalam memerangi korupsi.

Namun harapan untuk melihat kes korupsi berkurangan secara mendadak atas kesedaran bahayanya rasuah kepada negara, tidak berlaku.

Yang pasti selepas Najib, kes rasuah terus berlaku. Ia turut melibatkan orang biasa yang mengambil kesempatan daripada kedudukan yang mereka ada. Mereka mungkin segelintir kerani pejabat tanah, penguat kuasa di pintu sempadan, doktor pakar, penge­tua sekolah, anggota polis dan juga pengarah syarikat swasta.

Berderet lagi kes-kes rasuah sedang disiasat dan diheret ke mahkamah oleh Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM). Daripada nilai rasuah berpuluh ringgit hinggalah ratusan juta.

Satu ketika dahulu Najib dikaitkan dengan ‘kluster mahkamah’ apabila beliau dan rakan-rakan dalam partinya dituduh atas pelbagai kes rasuah.

Malangnya pihak yang menuduh Najib rasuah juga kemudiannya berada dalam ‘kluster mahkamah’ apabila mereka turut didakwa mengambil rasuah dan menyeleweng dana awam.

Sebab itulah agaknya tidak kedengaran lagi ‘kluster mahkamah’ dalam kempen-kempen politik. Itu belum lagi pelbagai tuduhan penyelewengan yang terus beredar di media sosial dan cakap-cakap di kedai kopi.

Nampaknya perang memerangi rasuah perlu diper­tingkatkan termasuk memberi kesedaran kepada semua lapisan masyarakat tentang bahaya korupsi.

Iltizam kerajaan untuk menoktahkan korupsi seharusnya juga menjadi azam semua pihak.

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia – UTUSAN

Ulasan