Bekas MP DAP sekolahkan Anwar cara perkasakan bahasa Melayu



Berita
Bekas MP DAP sekolahkan Anwar cara perkasakan bahasa Melayu

Diterbitkan: Oct 7, 2024 12:31 PM
Dikemaskini: Oct 8, 2024 4:35 PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim seharusnya membentangkan naratif positif dan bukannya negatif berkenaan dengan penggunaan bahasa Melayu (BM), kata bekas ahli parlimen DAP Ong Kian Ming.

Menurutnya, ini akan menggalakkan dan memberi insentif kepada orang ramai untuk menggunakan BM kerana ia adalah kepentingan mereka untuk mencapai komuniti berbahasa Melayu lebih luas, dan bukan kerana mereka dipaksa menggunakannya.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk pasukan perdana menteri di Jabatan Perdana Menteri menunjukkan beliau beberapa contoh positif di media sosial ini supaya beliau dapat tonjolkan naratif positif ini,” tambahnya dalam satu kenyataan.





Semalam, Anwar menyerang “golongan elit yang terlalu taksub kepada bahasa Inggeris” sehingga meremehkan kepentingan bahasa kebangsaan.

“Bahawa mereka itu hidupnya di Malaysia, jadi mereka mesti mewakili hasrat dan aspirasi rakyat Malaysia keseluruhannya dalam memartabatkan bahasa Melayu.

“Mereka ini adalah beberapa elit yang sudah tercabut dari akar tradisi bangsanya terhadap bahasa sendiri.

“Walaupun kita membicarakan soal bahasa lain tetapi jangan sampai mengurangkan keutamaan atau menyamakan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara,” katanya.

Mengulas kenyataan Anwar itu, Ong, yang menyatakan "sokongan kuat" kepada bahasa kebangsaan, berkata dia percaya bahawa Anwar tidak bermaksud untuk menyelar rakyat Malaysia yang tidak semestinya melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada "golongan elit yang dibesarkan di London" tetapi kerap menggunakan bahasa Inggeris, di tempat kerja mereka secara lazimnya.

“Mereka ini termasuklah ribuan rakyat Malaysia yang bekerja untuk pelbagai syarikat antarabangsa di Malaysia dan syarikat-syarikat tersenarai awam, terutamanya syarikat yang mempunyai pelanggan dan operasi di seluruh dunia, ahli akademik di universiti awam dan swasta yang mengajar dalam bahasa Inggeris, dan kakitangan sokongan yang berurusan dengan pelajar antarabangsa, penjawat awam yang perlu berurusan dengan rakan sejawat mereka dari luar negara dalam bahasa Inggeris, para pemandu pelancong dan pemandu teksi yang mempunyai pelanggan yang perlu berbahasa Inggeris, dan ramai lagi.


“Dengan menyasarkan mereka yang bertutur dan menggunakan bahasa Inggeris di peringkat ‘elit’, ramai golongan ‘bukan elit’ lain juga merasakan yang mereka telah disasarkan secara tidak adil oleh ucapan Anwar," katanya.

Menurut Ong, mereka yang menggunakan bahasa Inggeris dalam pelbagai kehidupan harian mereka mungkin berbuat demikian atas sebab-sebab lain dan bukan kerana untuk merendah-rendahkan penggunaan bahasa Melayu atau memandang rendah penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi.

Tambahnya, bahawa kebanyakan mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat tersenarai awam diadakan dalam bahasa Inggeris, sebahagiannya kerana banyak laporan kewangan dibentangkan dalam bahasa Inggeris dan kerana kehadiran pemegang saham atau pelabur asing.

Begitu juga, katanya, bahawa banyak prosiding akademik dan persidangan antarabangsa dilakukan dalam bahasa Inggeris kerana kehadiran penceramah serta peserta asing.

“Namun perkara ini tidak bermaksud tidak ada sesetengah rakyat Malaysia yang kurang selesa atau kurang fasih berbahasa Melayu.

“Semestinya ada pelbagai sebab untuk perkara ini yang memerlukan konteks yang berbeza untuk dijelaskan sepenuhnya.
Gambar Hiasan

“Tetapi daripada fokus terhadap perkara negatif, bukankah lebih baik untuk perdana menteri membawakan contoh baru yang lebih kreatif untuk menunjukkan kepentingan penggunaan bahasa Melayu?“soalnya.

Ong kemudian memetik banyak contoh-contoh mereka yang menjadi popular di media sosial kerana penguasaan bahasa Melayu mereka.

Ulasan