Belanjawan 2025: Pastikan hak rakyat dipenuhi



Belanjawan 2025: Pastikan hak rakyat dipenuhi
October 14, 2024

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025 dijangka menjadi platform penting bagi pelaksanaan reformasi fiskal yang inklusif dan adil, dengan memberi penekanan pada kebajikan sosial dan keadilan ekonomi.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi berkata, dasar-dasar kewangan perlu memastikan hak rakyat dipenuhi, termasuk dalam aspek pembangunan luar bandar, pendidikan, kesihatan, dan insentif pertanian.

“Dalam pada itu, hak-hak rakyat perlu dipenuhi dengan adil. Baik dalam aspek fasiliti luar bandar, pembangunan tenaga muda, insentif pertanian, akses pendidikan dan kesihatan berkualiti, serta kebajikan rakyat semua golongan termasuklah M40,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, tindakan-tindakan kontroversi kerajaan sebelum ini yang lebih menguntungkan sesetengah pihak perlu kembali diterjemahkan seadilnya dalam rangkaan dasar kewangan pada kali ini.

Tambah Nadzir, laungan reformasi dengan kejayaan penangkapan musuh-musuh politik, pengumuman-pengumuman yang gah tanpa definisi yang jelas seperti ‘mahakaya’, dan kejayaan menuruti permintaan ‘abang besar’ perlu diperbetulkan mengikut definisi reformasi yang sebenar-benarnya.

“Sesungguhnya, Belanjawan 2025 ini menjadi harapan baru kepada rakyat sekiranya reformasi yang inklusif dan adil mendasari pelaksanaan.

“Tetapi jika sebaliknya, Belanjawan 2025 ini hanyalah dasar berpolemik yang mengundang kritikan dan amarah rakyat yang berterusan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

Ulasan