Belanjawan hebat adalah yang dapat dinikmati rakyat
Oleh Aznan Bakar
19 Oktober 2024, 6:40 am
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 semalam berulang kali bercakap tentang amanah dan betapa pentingnya setiap apa yang diumumkan di Dewan Rakyat semalam sampai kepada rakyat dan dapat dinikmati oleh golongan sasar.
Secara tidak langsung, kebimbangan utama Perdana Menteri bukanlah soal menyediakan atau mengumumkan peruntukan, tetapi untuk memastikannya sampai kepada kumpulan yang disasarkan.
Tidak ada gunanya dibentang atau diumumkan belanjawan ratusan bilion ringgit andainya birokrasi dan rasuah telah menghalangnya daripada sampai dan dinikmati oleh rakyat.
Ini cabaran yang dihadapi oleh kerajaan pada setiap tahun iaitu memastikan sistem penyampaian itu tidak terjejas oleh sikap rakus manusia terutama mereka yang dipertanggungjawabkan ke atas peruntukan tersebut.
Jika kita lihat Belanjawan 2025 yang dibentangkan semalam, angkanya cukup besar, dan penerima manfaat pula boleh dikatakan meliputi setiap rakyat.
Seperti kata Anwar, sering kali berlaku keterlanjuran melibatkan jabatan, agensi dan syarikat kerajaan yang agak menonjol. Seolah-olah para pemegang amanah ini lupa atau tidak sedar bahawa dana yang dibelanjakan itu ialah dana rakyat, dan mereka hanya pemegang amanah.
Tidak ada gunanya kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk membantu rakyat jika ia tersangkut di peringkat pelaksanaan, atau tersangkut di atas meja agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab,
Lebih mendukacitakan, mereka yang diberi tanggung jawab untuk membantu memudahkan hidup rakyat, sebaliknya bertindak dengan sengaja merumitkan mereka. Terutama ketika datang memohon dana dan bantuan yang diperuntukan oleh kerajaan kepada mereka.
Perdana Menteri sendiri mengakui, rasuah ialah barah senyap yang menjatuhkan moral rakyat dan keyakinan pelabur.
Tidak guna ditetapkan hala tuju ekonomi dan pelbagai dasar sekiranya pelaksanaan masih ditakuk lama – salah guna kuasa, seleweng dana dan mengkayakan kelompok sendiri.
Pada masa sama, kita berharap reformasi perkhidmatan awam yang berpaksikan prinsip tatakelola yang baik bagi memacu produktiviti akan memastikan isu-isu lama berhubung penyaluran peruntukan kepada rakyat tidak tersekat di tengah jalan.
Tanggungjawab pemimpin dan penjawat awam adalah untuk berkhidmat dengan penuh amanah dan keikhlasan bagi membebaskan rakyat dari segala bentuk penindasan dan belenggu, sekali gus mengangkat martabat pentadbiran negara ke tahap yang lebih tinggi dan terpuji.
Belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri semalam cukup murni dalam meningkatkan ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan, membantu masyarakat luar bandar dan menyediakan negara sebagai destinasi menarik untuk pelaburan asing.
Ia bukan sekadar untuk pertumbuhan fizikal negara bagi memastikan kita kekal berdaya saing di pentas global, tetapi turut merungkai permasalahan kesenjangan dan kemiskinan yang kian melebar.
Selain matlamatnya untuk memacu pertumbuhan yang lebih segar bagi memenuhi keperluan semasa, tonggak utama adalah kesejahteraan rakyat. Tidak ada gunanya belanjawan lebih RM400 bilion itu jika ia gagal menjamin keselesaan rakyat.
Sebab itu peranan sistem penyampaian yang amanahnya dipikul oleh para penjawat awam sangat penting jika mahu memastikan aspirasi murni kerajaan ini diterima, dirasai dan dinikmati oleh setiap rakyat.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan