Bila pemain dan pengadil orang yang sama



Bila pemain dan pengadil orang yang sama

PRK N.29 DUN Mahkota
October 3, 2024


APABILA pembangkang bertanding sama ada dalam Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) mereka sebenarnya bukan berdepan dengan parti kerajaan, tetapi mereka berdepan dengan sebuah kerajaan.

Parti pembangkang lawan kerajaan. Bukan parti pembangkang lawan parti kerajaan.

Bukan satu perkara baharu bahawa parti-parti kerajaan yang sedang memerintah menggunakan jentera kerajaan dan melanggar segala peraturan berkaitan pilihan raya.

Ia cenderung berlaku kepada Kerajaan Persekutuan yang memegang kuasa penguatkuasaan dan badan-badan keselamatan yang mempunyai kuasa menangkap dan mendakwa.

Di PRK Mahkota sendiri beberapa laporan polis telah dibuat disebabkan isu penggunaan jentera kerajaan oleh BN iaitu dengan mengadakan program yang boleh mempengaruhi pengundi.

Itu belum lagi maklumat yang diberikan penduduk mengenai berlaku edaran beras tempatan dari rumah ke rumah oleh pihak-pihak tertentu. Malah tular di akaun-akaun _Tiktok_ di mana isteri seorang anggota keselamatan yang mendakwa menerima wang sogokan.

Bukan di Mahkota sahaja, di PRK-PRK sebelum ini juga berlaku dengan berleluasa. Di Kuala Kubu Baru, di Sungai Bakap, di Nenggiri dan sebelumnya lagi terlalu banyak berlaku.

Jika kita melihat kepada petisyen pilihan raya terhadap kemenangan Perikatan Nasional di beberapa kawasan Parlimen di Terengganu termasuk di Parlimen Kemaman dan Kuala Terengganu sebelum ini, ia disebabkan program bantuan rasmi kerajaan negeri yang diberi ketika PRU.

Dalam kes-kes tersebut, ia melibatkan program bantuan Kerajaan Negeri di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijalankan pada waktu PRU.

Walaupun alasan diberi bahawa bantuan tersebut adalah di bawah bidang kuasa DUN, sedangkan pilihan raya itu melibatkan Parlimen di peringkat Persekutuan, namun ia tetap didapati bersalah oleh mahkamah di dua kawasan Parlimen iaitu Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman.

Ironinya, di PRK Mahkota, laporan polis dibuat oleh aktivis Perikatan Nasional, Che’gu Bard bagi sebuah program yang bukan dianjur oleh Kerajaan Persekutuan tetapi dianjurkan oleh Kerajaan Negeri sendiri iaitu program Jom Orang Mahkota sedangkan PRK itu sendiri memang melibatkan kerusi DUN.

Walaupun pada dasarnya semua pihak tahu bahawa ia sesuatu yang salah tetapi BN-PH dalam semua pilihan raya dengan angkuhnya menggunakan jentera-jentera kerajaan dalam pilihan-pilihan raya yang berlaku.

Kita boleh merujuk kepada laporan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil’ (BERSIH 2.0) berkaitan dengan setiap PRK yang berlaku.

BERSIH 2.0 ini adalah ‘kembar’ kepada Pakatan Harapan (PH) selama ini kononnya bersama-sama berjuang untuk mewujudkan sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.

Laporan BERSIH untuk PRK Mahkota belum keluar lagi. Tetapi jika kita melihat kepada laporan NGO itu untuk PRK Sungai Bakap, mereka menyifatkan pengumuman-pengumuman berkenaan peruntukan-peruntukan dan bantuan dibuat kerajaan ketika berlangsungnya PRK sebagai ‘Politik Pork Barrel’.

Tetapi, kalau BN buat begitu, itu memang makanan mereka sejak dari dahulu. Yang lucunya ialah mereka dari pihak PH yang dahulunya memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil tanpa ada pengaruh kerajaan yang memerintah, kini mereka tanpa rasa malu merasionalkan perkara itu.

Mujurlah pada waktu ini NGO BERSIH masih lagi pemikirannya belum ‘corrupted’ berbanding ‘abangnya’ PH yang sedang menunjukkan rupa hodoh mereka yang sebenar setelah berjaya menjadi kerajaan.

Semua ini berlaku kerana mereka adalah pemain dan dalam masa sama mereka juga pengadil yang membuat keputusan salah dan betulnya perjalanan pertandingan itu.

Maka mereka sewenang-wenangnya melanggar peraturan yang mereka buat sendiri kerana mereka juga menentukan siapa betul dan siapa bersalah untuk dihukum.

Untuk merasionalkan perkara ini seorang pemimpin wanita PH pernah berkata, mereka datang sebagai Menteri, apa salahnya mereka bertemu rakyat dan menjalankan aktiviti di situ berdasarkan portfolio mereka.

Sedapnya mulut! Agaknya bila mereka jadi pembangkang semula nanti dan kerajaan pada masa itu melakukan perkara yang sama adakah mereka akan bersetuju atau mereka membantah dan berguling-guling di atas jalan raya? – HARAKAHDAILY 3/10/2024

Ulasan