Contohi Za’ba, jangan khianati perjuangan bangsa
ZA’BA mengingatkan orang Melayu supaya tidak perlu bergantung nasib kepada kaum penguasa yang tidak berniat untuk memajukan mereka.
Oleh Mohd Ayop Abd. Razid
28 Oktober 2024, 8:15 am
ZAINAL Abidin Ahmad terkenal dengan gelaran Pendita Za’ba, merupakan tokoh cendekiawan (intelektual) dan pejuang Melayu terkenal yang banyak membicara dan membahaskan tentang kelemahan dan kepincangan yang wujud dalam masyarakat Melayu. Tokoh ini juga banyak berjasa dalam memperjuang kemajuan bahasa Melayu, serta pemikir Islam yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah Rasulullah.
Beliau mula aktif memperjuangkan nasib bangsanya melalui ‘mata pena’ (penulisan) sejak berusia 20an lagi. Melalui penulisannya, beliau sentiasa mendorong bangsanya agar maju dan bersedia bersaing dengan bangsa-bangsa yang lebih maju. Beliau menyentuh pelbagai isu berkait keterbelakangan orang Melayu seperti soal pendidikan, ekonomi, kefahaman agama, politik dan bahasa Melayu.
Beliau menyalurkan pemikiran dan perjuangannya melalui beberapa akhbar utama seperti al-Ikhwan dan Utusan Melayu. Oleh sebab perjuangannya adalah perjuangan untuk membela dan mengubah nasib bangsanya, maka Za’ba tidak dapat memisahkan perjuangannya dari politik tanah air. Gagasan politik beliau bertitik tolak dari pemikirannya yang menolak sistem feudal yang diamalkan oleh golongan bangsawan Melayu ketika itu.
Sasaran kritikan Za’ba terhadap golongan bangsawan yang berkuasa disebabkan golongan terbabit dianggap memperhamba dan memundurkan bangsanya sendiri, bukan berusaha membela dan memajukan masyarakat Melayu. Za’ba melihat golongan bangsawan menindas orang Melayu di bawah kepompong sistem feudalisme. Melalui sistem itu, orang Melayu dikawal dan diperhambakan sehingga mereka tidak berupaya untuk mengubah keadaan hidup mereka.
Bagi Za’ba, sistem feudal menjadi saluran yang membuka ruang kepada raja- raja Melayu dan golongan bangsawan atau pembesar-pembesar Melayu mengekploitasi bangsanya sendiri. Za’ba menganggap ia satu bentuk kezaliman yang dilakukan oleh golongan terbabit terhadap bangsanya sendiri. Beliau melihat golongan bangsawan sengaja membiarkan masyarakatnya terus berada dalam keadaan serba kedaifan supaya mudah dikongkong dan dikawal hidup mereka.
Dalam satu tulisannya, beliau menyebut bagaimana golongan bangsawan memeras bangsanya dalam ayat yang berbunyi, “…kena perabadian dan kena picit dan perah dan ramas di tangan pemerintah-pemerintahnya” (al-Ikhwan, 16 April 1927). Golongan feudal terbabit tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk memajukan bangsanya dan lebih rela membiarkan anak bangsanya berada dalam kemunduran.
Za’ba turut mengkritik salah faham masyarakat Melayu terhadap konsep ‘takdir’ sehingga kefahaman itu menjadikan orang Melayu cenderung berpegang kepada konsep fatalisme, menyerah kepada ketentuan takdir tanpa mahu berusaha sungguh-sungguh menyebabkan orang Melayu dibelenggu kemiskinan dan pelbagai kemunduran.
Dalam konteks ini, Za’ba mengkritik “kemiskinan watak dan otak (pemikiran)” dalam kalangan bangsanya. Kemiskinan watan dan minda ini dikaitkan dengan sikap malas untuk berdikari, malas untuk bekerja keras dan sikap terlalu mengharap bantuan orang lain. Semua sifat-sifat tersebut dianggap Za’ba sebagai kerugian yang parah.
Dalam bukunya ‘Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri’ (DBP, 1982) beliau menyebut bahawa kemiskinan ilmulah yang merupakan sebesar-besar kerugian yang menjadikan bangsanya kalah dan ketinggalan di belakang dalam perlumbaan kemajuan. Beliau melihat kemiskinan itu bukan sahaja kemiskinan pada wang dan harta benda tetapi miskin juga pada hemat dan cita-cita, miskin pada pekerjaan, miskin pada pengetahuan dan latihan kemahiran serta beberapa bentuk kemiskinan yang lainnya.
Bagi Za’ba, kekayaan sebenarnya ialah “kekayaan watak dan otak” dengan sifat-sifat berdikari, keghairahan dalam menuntut ilmu, tekun dan sanggup bekerja keras, rasa tanggungjawab untuk memikir (membaiki) nasib bangsa. Dari “kekayaan watak dan otak” inilah yang mampu membawa kekayaan harta, kemajuan bangsa dan negara.
Za’ba juga menentang dan menolak penjajahan. British Za’ba mahukan bangsanya merdeka dari belenggu penjajahan fizikal dan minda. Za’aba turut melihat raja dan pembesar-pembesar feudal Melayu diperalat dan ditipu daya oleh British kerana mereka amat dangkal dalam ilmu siasah (politik) sehingga mereka mudah diperdayakan oleh kaum penjajah.
Oleh sebab tidak memahami politik tipu daya penjajah maka raja-raja Melayu itu dengan mudahnya diperdayakan oleh penjajah British. Justeru, dalam berdepan dengan penjajah British, Za’ba telah berusaha membangkitkan kesedaran penentangan penjajah dengan mengkritik British melalui tulisannya.
Beliau mengkritik keras pemerintah British dan kaum bangsawan Melayu yang sengaja membiarkan masyarakat Melayu hidup dalam kemunduran. Menurut beliau, walaupun British membawa pelbagai teknologi baharu, namun ia adalah untuk kepentingan mereka mengekploitasi sumber kekayaan yang ada untuk dibawa ke negara asal mereka.
Za’ba melihat dalam keadaan masyarakat Melayu dikongkong oleh sistem monarki yang menyuburkan budaya feudalisme, datang pula penjajah British yang menambah sengsara orang Melayu. Kedua-duanya menyebabkan orang Melayu terpinggir dari arus pembangunan sosioekonomi. Bagi Za’ba, sistem feudal amat merugikan masyarakat Melayu kerana institusi itu dilihatnya gagal membangun pemikiran dan ketamadunan bangsa Melayu.
Za’ba mengingatkan orang Melayu supaya tidak perlu bergantung nasib kepada kaum penguasa yang tidak berniat untuk memajukan mereka. Beliau juga mengingatkan orang Melayu supaya jangan bersikap emosi dalam perkara- perkara yang dimomokkan dan didoktrin sebagai Melayu dan Islam. Beliau mahukan orang Melayu menggunakan akal fikiran yang waras dengan menjauhi sikap ‘taklid buta’ tanpa ilmu pengetahuan kerana ‘taklid buta’ tidak berupaya mengangkat martabat dan maruah bangsanya menjadi bangsa yang dihormati.
Sikap Za’ba yang melihat institusi monarki dan golongan bangsawan secara kritis serta berani menegur golongan terbabit akhirnya berjaya membuka minda dan membangkit jiwa orang Melayu untuk mengubah diri dan masyarakatnya.
Justeru, perjuangan dan pemikiran Za’ba wajar dicontohi dan hayati oleh kita, terutamanya pemimpin-pemimpin Melayu hari ini.
Bagi pemimpin yang masih mempunyai sikap mahu memperhambakan bangsanya sendiri demi untuk meraih kuasa hendaklah diubahkan perangai buruk itu supaya nasib dan kedudukan bangsa dapat dipertahan dan dibela di tanah air sendiri.
Biasanya pemimpin-pemimpin Melayu yang lemah jati diri ini mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mempertahan maruah dan kedudukan bangsa, malah hari ini sudah ternampak ada tindakan-tindakan segelintir pemimpin Melayu yang tidak lagi melihat perjuangan bangsa sebagai teras perjuangan politik.
Pemimpin-pemimpin yang gila kuasa dan mementingkan diri sendiri itu gagal memperjuangkan kedudukan bangsa berasaskan peruntukan-peruntukan perlembagaan serta gagal untuk memperkukuh kedudukan ummah supaya terpelihara akidahnya dan menjadi ‘khairu ummah’ yang dihormati di tanah air sendiri. – UTUSAN
Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.
Ulasan
Catat Ulasan