‘Derma jihad di jalan Allah 700 kali ganda lebih besar’





‘Derma jihad di jalan Allah 700 kali ganda lebih besar’
October 7, 2024


KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, derma yang diberikan untuk perjuangan di jalan Allah dijanjikan ganjaran sebanyak 700 kali ganda berbanding derma untuk tujuan biasa seperti pembinaan masjid atau diberikan kepada peminta sedekah.

Menurut beliau, perkara ini merujuk kepada ayat al-Quran yang menggambarkan ganjaran besar bagi mereka yang membelanjakan harta di jalan Allah.

Tambahnya, dalam ayat tersebut, Allah SWT menyamakan derma jihad seperti menanam sebiji benih yang tumbuh menjadi pohon dengan tujuh tangkai, dan setiap tangkai mengandungi 100 biji.

“Derma di jalan Allah, khususnya jihad, Allah gandakan 700 kali ganda, sedangkan derma kepada masjid atau peminta sedekah hanya digandakan 10 kali ganda.

“Kenapa derma jihad mendapat ganjaran lebih besar? Kerana apabila kita memberi kepada orang miskin atau peminta sedekah, kita melihat keperluan fizikal mereka tetapi, dalam jihad, kita tidak tahu bila kemenangan akan datang.

“Ini adalah ujian keimanan yang lebih berat. Oleh sebab itulah, Allah gandakan ganjaran derma untuk jihad,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Himpunan Setahun Taufan al-Aqsa di Dataran Khairunnisa’, Jalan Sultan Omar, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari dan Pengerusi Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al Nuri dan wakil Palestin.

Sementara itu, Tuan Guru Abdul Hadi turut mengingatkan bahawa jihad bukan sahaja menguji kesediaan umat Islam untuk berkorban harta, tetapi juga menguji keimanan dan keyakinan terhadap janji Allah.

“Isu yang sering dipersoalkan oleh segelintir orang, seperti kebimbangan sama ada derma untuk jihad akan disalahgunakan, adalah sebahagian daripada ujian yang perlu dihadapi dengan keimanan yang kukuh,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada firman Allah SWT yang menyuruh umat Islam bersiap sedia untuk menentang musuh dengan kemampuan yang ada.

Katanya, umat Islam perlu memberikan sumbangan mengikut kadar kemampuan masing-masing, sama ada dalam bentuk kewangan, senjata, atau tenaga.

Namun, beliau juga mengakui bahawa kemampuan umat Islam jauh lebih kecil berbanding musuh-musuh Islam yang mempunyai sumber kewangan dan ketenteraan yang jauh lebih besar.

“Musuh-musuh Islam, seperti Amerika dan Eropah, memiliki senjata dan sokongan kewangan yang tidak putus-putus, manakala kita hanya mampu menyumbang sedikit, mungkin RM10 atau RM20.

“Jarang sekali ada yang mampu menyumbang dalam jumlah besar seperti RM1 juta atau RM4 juta.

“Walaupun sumbangan kita kecil, apa yang penting adalah keikhlasan dan keyakinan kita kepada bantuan Allah,” katanya.

Ulasan