Dokumen Hijau: Penilaian wajar terhadap golongan ‘maha kaya’
October 30, 2024
Mohd Zuhdi menyatakan PAS telah melancarkan Dokumen Hijau pada tahun 2016.
KUALA LUMPUR: Kategori golongan ‘maha kaya’ wajar dinilai berdasarkan jumlah aset dan pelaburan, dengan meraih inspirasi dari sistem zakat yang digunakan dalam Dokumen Hijau PAS.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, kategori golongan ‘maha kaya’ dalam Belanjawan 2025 masih belum jelas, dengan pendapatan ambang RM13,000 yang dikritik sebagai tidak munasabah oleh Perdana Menteri.
Menurutnya, istilah ‘maha kaya’ perlu difahami sebagai kelompok dengan aset pelaburan besar, bukannya merangkumi semua golongan berpendapatan tinggi seperti penjawat awam gred 48.
Beliau berkata, pada tahun 2016, PAS pernah melancarkan Dokumen Hijau, iaitu sebuah dokumen untuk menyelesaikan permasalahan ekonomi negara bagi tempoh jangka pendek.
“Antara penyelesaian yang dicadangkan ialah mengenakan cukai minimum dengan kadar 2.5 peratus ke atas ‘simpanan tetap’ dan ‘pegangan saham’,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya.
Beliau menyatakan bahawa kedua-dua simpanan tetap dan pegangan saham itu dipilih kerana ia boleh menjadi parameter menentukan golongan ‘maha kaya’ di Malaysia.
“Simpanan tetap boleh menjadi parameter kepada lebihan pendapatan yang dikumpulkan setelah dibelanjakan untuk keperluan.
“Sementara, pegangan saham pula terangnya, boleh menjadi parameter kepada pegangan kekayaan seseorang individu atau syarikat dalam perniagaan,” jelasnya.
Tambah beliau, menurut ajaran Islam, simpanan tetap dan pegangan saham yang melebihi nisab serta mencukupi tempoh pegangan setahun atau haul, akan dikenakan zakat sebanyak 2.5 peratus.
Zuhdi berkata, nilai nisab semasa yang mewajibkan seseorang mengeluarkan zakat ialah sekitar RM24,198.
Nilai itu, ujar beliau, jauh lebih rendah daripada ambang simpanan tetap dan pegangan saham seperti unjuran sebanyak RM500,000.
“Bagi seseorang Islam, sekiranya simpanan tetap atau pegangan saham mereka melebihi RM24,198 dan telah cukup tempoh pegangan setahun, wajib dikeluarkan 2.5 peratus daripadanya sebagai zakat.
“Sistem zakat inilah dijadikan piawai oleh Dokumen Hijau PAS dalam mencadangkan cukai terhadap simpanan tetap dan pegangan saham,” jelasnya.
Kriteria baharu golongan ‘maha kaya’
Beliau berkata, seharusnya golongan ‘maha kaya’ itu dikategorikan berdasarkan jumlah pemilikan aset mereka, khususnya jumlah simpanan tetap dan pegangan perlaburan mereka.
Menurut laporan Kualiti Hidup Global 2024 (Snapshot Pelabur Mewah) yang diterbitkan oleh HSBC, golongan pelabur mewah (boleh disebut pelabur ‘maha kaya’) ialah mereka yang mempunyai aset terkumpul antara AS$100,000 sehingga AS$2,000,000.
Zuhdi menyatakan, kategori yang dibuat seperti itu, boleh menjadi panduan untuk kerajaan menetapkan siapa golongan ‘maha kaya’ di Malaysia.
Bagaimanapun menurut beliau buat masa ini, untuk memudahkan perisytiharan, jumlah aset terkumpul itu sewajarnya hanya mengambil kira jumlah simpanan tetap dan jumlah pegangan pelaburan di dalam produk-produk kewangan atau saham.
“Berdasarkan sedikit analisis ringkas itu, golongan ‘maha kaya’ itu boleh dikategorikan mereka yang mempunyai simpanan tetap atau pegangan saham yang melebihi AS$100,000 (RM435,000).
Jumlah itu, katanya, mungkin boleh digenapkan kepada RM500,000 atau setengah juta ringgit Malaysia.
“Saya beranggapan bilangan rakyat Malaysia yang mempunyai simpanan tetap atau pegangan saham lebih daripada RM500,000 adalah kurang daripada 10 peratus.
“Disebabkan sukar untuk mencapai data-data rasmi pihak berkaitan, boleh jadi kesimpulan saya yang buat itu salah.
“Akan tetapi yang jelasnya, golongan ‘maha kaya’ ini tidak mungkin melebihi 10 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia, bukannya dikelompokkan sebagai T15,” terangnya.
Golongan ‘maha kaya’ diberi konotasi negatif?
Menurutnya lagi, sehingga kini, belum ada keputusan muktamad mengenai kategori T15 yang bakal ditarik subsidi mereka.
“Perdana Menteri menganggap ambang terendah RM13,000 untuk T15 sebagai tidak munasabah dan menyatakan akan dinaikkan,” ujar beliau.
Beliau menjelaskan, jika ambang tersebut ditingkatkan, kelompok ‘maha kaya’ itu tidak lagi mewakili 15 peratus penduduk Malaysia tetapi menjadi lebih kecil.
“Sebenarnya, yang menjadi pertikaian ialah siapakah golongan ‘maha kaya’, bukannya siapakah golongan T15.
“Istilah ‘maha kaya’ atau super rich seringkali digunakan untuk menggambarkan jurang pendapatan kaya-miskin yang begitu lebar dalam sesebuah negara. Malah, seringkali istilah ‘maha kaya’ ini digunakan dengan konotasi yang negatif,” katanya.
Terdahulu pada 11 Jun 2024, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata bahawa golongan ‘maha kaya’ perlu bertanggungjawab atas permasalahan ekonomi negara.
Anwar juga menggambarkan golongan ‘maha kaya’ itu sebagai berkuasa dan sukar disinggung, serta liat membayar cukai.
Sehubungan itu sebagai respons, Zuhdi mengutarakan hujahnya, jika Perdana Menteri ingin menerapkan naratif mempertanggungjawabkan golongan ‘maha kaya’, ia wajar dipertimbangkan.
“Dalam Belanjawan 2025, langkah itu termasuk menarik subsidi seperti RON95, pendidikan, dan kesihatan daripada mereka.
“Golongan itu jelasnya juga akan dikenakan cukai ke atas dividen saham kerana mereka melabur lebih 50 peratus aset dalam produk kewangan Malaysia.
“Siapa sewajarnya dikategorikan golongan ‘maha kaya’?
“Sekali lagi yang menjadi persoalannya, berapa peratus golongan ‘maha kaya’ ini?” Soal Zuhdi.
Dalam laporan Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHDP) tahun 2004, Malaysia dilaporkan mempunyai jurang kaya-miskin yang paling lebar dalam kalangan negara ASEAN, malah antara yang terburuk di Asia.
Laporan itu menyebut, 10 peratus golongan terkaya di Malaysia menguasai hampir 38.4 peratus perolehan ekonomi di Malaysia, iaitu lebih dari satu pertiga perolehan ekonomi.
Bagaimanapun, pada tahun 2014, menurut Kerajaan Malaysia ketika itu, jurang kaya-miskin itu telah berjaya dikurangkan dengan begitu banyak.
Oleh sebab itu Zuhdi berkata, golongan ‘maha kaya’ di Malaysia sewajarnya kurang dari 10 peratus.
Beliau berkata, meletakkan golongan ‘maha kaya’ itu dalam kelompok T15 atau 15 peratus golongan terkaya di Malaysia amatlah tidak wajar.
“Ia secara langsung dengan kategori seperti itu, sebahagian penjawat-penjawat awam dalam kategori kumpulan pengurusan dan profesional, turut terkelas sebagai golongan ‘maha kaya’.
“Jika sepasang guru berjawatan gred 48 mempunyai pendapatan isi rumah melebihi RM13,000, mereka dianggap golongan ‘maha kaya’.
“ Ini akan menyebabkan mereka kehilangan subsidi haji dan beberapa subsidi lain yang akan ditarik,” tegas Zuhdi.
Hak asasi golongan ‘maha kaya’
Beliau berkata lagi, seperti yang telah diulas dalam Ulasan Bajet 2025 Siri 1 yang lalu, golongan ‘maha kaya’ berhak mendapatkan perkhidmatan percuma yang disediakan oleh kerajaan, terutama dalam sektor keperluan asas seperti pendidikan dan kesihatan, setelah mereka menunaikan tanggungjawab termasuk membayar cukai.
“Sebagai warganegara Malaysia, mereka berhak menikmati hasil mahsul kekayaan sumber alam, termasuk sumber petroleum, dengan kadar yang munasabah.
“Oleh sebab itu, golongan ‘maha kaya’ sememangnya harus dipertanggungjawabkan dengan cukai yang wajar, tetapi tidak boleh dinafikan hak-hak mereka memperolehi subsidi tertentu,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2024
Ulasan
Catat Ulasan