GISBH: Jangan menghukum sebelum diadili
October 2, 2024
KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak yang ada autoriti untuk menyiasat berkaitan kegiatan GISB Holdings di Kelantan.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkara itu diserah kepada pihak Majlis Agama Islam Kelantan atau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam untuk menyiasat.
Katanya kerajaan negeri juga menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan lanjut.
“Bagaimanapun kita minta jangan menghukum sebelum diadili dan sekiranya didapati bersalah dari sudut agama atau peraturan negara.
“Kita minta tindakan yang sepatutnya diambil,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.
Menurutnya juga sebelum ini sudah ada fatwa berkenaan Al-Arqam dan sekiranya GISB Holdings mewarisi amalan Al-Arqam, ia tidak memerlukan fatwa yang baharu.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri tidak akan membeli aset milik syarikat GISBH termasuk restoran dan hotel yang sudah ditutup.
Namun kata beliau sekiranya ada agensi di bawah kerajaan negeri berminat ia boleh dipertimbang untuk berbuat demikian.
“Kita tidak boleh beli tetapi agensi kerajaan negeri boleh berbuat demikian. Difahamkan banyak premis GISBH sudah ditutup,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/10/2024
Ulasan
Catat Ulasan